Pencipta kandungan digital di Malaysia semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa kerana kreativiti tinggi serta keunikan budaya tempatan yang ditonjolkan.
Menurut penganjur Anugerah All Star Influencers (ASIA), Datuk Abd. Rahman Soltan, pempengaruh media sosial Malaysia bukan sahaja kreatif tetapi juga mampu menghasilkan kandungan berkualiti yang setaraf dengan pencipta kandungan terkenal dari luar negara.
“Saya tidak setuju dengan tanggapan bahawa pempengaruh Malaysia kurang bijak. Dari segi kreativiti, orang Melayu antara yang paling berbakat. Ramai pencipta kandungan dan pembikin filem muda lahir daripada generasi kita,” katanya.
Abd. Rahman turut menjelaskan bahawa platform seperti ASIA2024 diwujudkan sebagai medium penting untuk menyerlahkan bakat tempatan di peringkat global. Aktiviti-aktiviti menjelang malam penganugerahan memberikan peluang kepada pempengaruh untuk mempamerkan kreativiti mereka.
“Kami yakin generasi muda ini mempunyai idea unik dan pendekatan tersendiri untuk menarik perhatian audiens, bukan sekadar mencipta kandungan sensasi,” tambahnya.
ASIA 2024, yang akan berlangsung dari 3 hingga 7 Disember 2024, bakal menghimpunkan lebih 60 pempengaruh dari lapan negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Jepun, Filipina, Taiwan, Vietnam, Thailand dan Korea Selatan.
Abd. Rahman turut menekankan bahawa ASIA 2024 bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan menghasilkan kandungan yang bermanfaat dan berkualiti. Acara ini juga menjadi platform untuk menyatukan bakat digital dari pelbagai latar belakang budaya.
“Peserta dengan jutaan pengikut akan terlibat dalam aktiviti seni dan budaya di Melaka. Kandungan video yang mereka hasilkan akan memaparkan keindahan dan kepelbagaian budaya Malaysia, menarik perhatian pengguna media sosial di seluruh dunia,” katanya.
Acara ini juga bertujuan melahirkan pencipta kandungan yang bertanggungjawab serta mampu menyampaikan mesej positif kepada audiens.
Edisi kedua ASIA ini menawarkan 13 kategori pertandingan, termasuk Best Storyteller Award, Best Culture Curator Award dan Best Transition/Editing Award. Pemenang setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai serta trofi eksklusif.
Melaka dipilih sebagai lokasi utama ASIA 2024 kerana nilai sejarah dan budaya yang dimilikinya. Para peserta akan menyertai pelbagai aktiviti seni dan budaya sambil menghasilkan kandungan kreatif yang mengetengahkan keunikan negeri tersebut.
Menurut Abd. Rahman, ASIA2024 bukan sahaja mempromosikan pelancongan Malaysia tetapi juga menyediakan ruang bagi pempengaruh untuk mengembangkan kreativiti mereka.
“Kami percaya golongan muda ini mempunyai cara tersendiri untuk menarik perhatian audiens. Pertandingan ini diharap memberi impak besar kepada industri pelancongan negara, selari dengan Tahun Melawat Melaka 2024.
“Kandungan yang dihasilkan akan menjadi medium promosi yang lebih berkesan melalui media sosial. Selain itu, acara ini juga mengukuhkan hubungan antara pencipta kandungan dari pelbagai negara, membina jaringan kerjasama lebih luas, dan menetapkan standard baharu bagi industri ini di rantau Asia,” jelasnya.
Sebagai info, edisi pertama ASIA tahun lalu mengiktiraf pempengaruh terkenal Indonesia, Ahieb Reborn, yang memenangi anugerah utama *Pempengaruh Media Sosial Terbaik*, membawa pulang wang tunai USD10,000 (RM47,300) beserta trofi.
Kategori *Suntingan Terbaik* dimenangi Hermansyah dari Indonesia dengan hadiah USD3,000 (RM14,200), manakala kategori *Penyampai Cerita Terbaik* dimenangi Tikaolaa (Indonesia) dengan hadiah USD1,000 (RM4,730). Trofi *Pilihan Orang Ramai* pula dimenangi oleh Syellaisk (Indonesia) bersama wang tunai USD1,000 (RM4,730).
Tahun lalu, tanda pagar #AllStarInfluencerAward2023 berjaya mencatat lebih 205 juta capaian di TikTok dan menjadi tular di pelbagai platform media sosial dalam tempoh setahun.




