Tunggu giliran bina masjid baru

Tunggu giliran bina masjid baru

am@hmetro.com.my

Permaisuri: Permohonan membina sebuah masjid baharu bagi menggantikan masjid asal Kampung Seri Bayas, di sini, yang kerap ditenggelami banjir sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, buat masa ini status projek berkenaan dalam proses menunggu giliran untuk pembinaan.

Katanya, setakat September lalu, ada 31 masjid sudah diluluskan untuk proses bina baharu di bawah senarai masjid Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Proses pembinaan masjid itu mengikut giliran dan dibina secara berperingkat dalam tempoh ditetapkan.

“Sumber peruntukan bina masjid membabitkan beberapa agensi kerajaan (negeri dan persekutuan).

“Pembangunannya turut menerima dana daripada sumbangan orang ramai,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan pembinaan masjid mengikut rancangan dan berharap penduduk bersabar.

Semalam, penduduk Kampung Seri Bayas dilapor menzahirkan kebimbangan mengenai masjid di kampung mereka yang kerap dilanda banjir pada musim tengkujuh.

Penduduk mendakwa masalah sudah berlaku sejak kewujudan masjid pada tahun 90-an berikutan lokasinya yang berada di kawasan rendah.

Susulan itu, penduduk berharap pembangunan masjid baharu dirancang di kawasan lebih tinggi dapat diteruskan selepas mendakwa projeknya seolah tergendala lima tahun.

Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke emel Suara Anda, Kami Dengar di am@hmetro.com.my

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top