Saksi dakwa dihalang 13 pelajar untuk lapor kepada warden kes pukul Allahyarham Mohamad Nazmie

Saksi dakwa dihalang 13 pelajar untuk lapor kepada warden kes pukul Allahyarham Mohamad Nazmie

am@hmetro.com.my

Tawau: Seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa dia dihalang oleh 13 tertuduh daripada berjumpa warden untuk melaporkan kejadian Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, yang dipukul dalam bilik Asrama 5 Belian, kolej itu, 21 Mac lalu.

Saksi pendakwaan ke-13 itu menyatakan demikian ketika sesi pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Kepada soalan peguam, Mohamed Zairi Zainal Abidin, saksi itu juga tidak bersetuju dengan soalan selain menafikan keterangannya berhubung perkara itu adalah rekaan semata-mata dan sebaliknya menegaskan kejadian itu (dihalang) memang benar berlaku.

Zairi: Saya katakan kepada kamu bahawa perkara itu sebenarnya adalah alasan kamu sahaja kerana ketika kejadian, kamu boleh saja lari dan buat aduan kepada warden dan datang semula ke bilik 5 belian untuk lihat kejadian itu, betul?

PW13: Tidak setuju

Zairi :Jika itu jawapan kamu, setuju jika saya katakan bahawa ada orang halang kamu untuk jumpa warden?

PW13: Setuju

Zairi: Siapa?

PW13: Diorang (mereka) 13 orang.

Bagaimanapun, saksi itu memaklumkan, dia tidak memasukkan perkara itu (dihalang jumpa warden) di dalam pernyataan saksinya.

Menurut saksi itu lagi, sekitar jam 10 malam, dia berada di bilik rakannya di aras dua sebelum kembali ke biliknya di aras lima dan melihat beberapa rakan sebilik sedang bermain telefon.

Katanya, tidak lama kemudian, sekumpulan pelajar termasuk tertuduh pertama dan beberapa individu lain (tertuduh ke-11; ketujuh; kesembilan; kelima; keenam; kelapan; keempat; dan ke-13) memasuki bilik mereka sambil mengerumuni Aizzat di tengah bilik.

“Masa itu saya nampak tertuduh pertama bercakap dengan Aizzat tetapi saya tidak jelas apa yang diperkatakan sebelum mereka bergaduh satu lawan satu, diikuti oleh tertuduh ke-11 yang turut bergaduh dengan Aizzat,” katanya.

Tambahnya, tidak lama selepas itu (antara lima hingga 10 minit), tertuduh kedua bersama seorang lagi pelajar (PW14) masuk ke bilik itu dan bertanya apa yang sedang berlaku sebelum terdengar seseorang menyatakan kepada tertuduh pertama bahawa Aizzat mencuri, lalu tertuduh kedua mengarahkan semua penghuni bilik keluar, kecuali Aizzat.

“Saya keluar dan duduk di tepi tangga bersebelahan dengan tandas dan bilik 7 belian sambil bermain telefon (melayari aplikasi TikTok) namun kembali semula ke bilik apabila mendengar bunyi kuat seperti lokar dipukul dengan objek keras dan melihat tertuduh kedua memukul Aizzat di bahagian belakang dan sisi badannya.

“Kemudian saya nampak tertuduh kedua menarik tangan Aizzat dan membawanya keluar dari bilik untuk mandi di tandas dan selepas itu saya baring di katil sehingga tertidur,” tambahnya.

Prosiding perbicaraan membabitkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu, jam 9 malam, 21 Mac hingga jam 7.38 pagi, 22 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung jam 2 petang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top