sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pertahanan kental Terengganu FC (TFC), Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni tekad untuk meneruskan momentum kemenangan berdepan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) bagi memastikan pasukannya tidak tergelincir di tangga lebih bawah Liga Super.
Jelas ‘kereta kebal’ skuad Penyu itu, kejayaan melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia dengan mengetepikan Melaka FC minggu lalu membakar lagi semangatnya serta rakan sepasukan untuk mengutip tiga mata.
Bagaimanapun pemain kelahiran Bachok, Kelantan itu sedar ianya bukan tugas mudah untuk merealisasikan impian itu biarpun skuad lawan kini menghuni di tangga kedua tercorot liga.
Tambah pemain yang lebih mesra dipanggil ‘Nijey’ itu, lawan pastinya idam kemenangan ketiga selepas kini baharu mengutip tujuh mata daripada 14 perlawanan liga, namun dia tidak rela ‘berputih mata’.
“Bagaimanapun saya mengingatkan diri dan rakan sepasukan agar tidak leka serta usah memandang mudah pasukan lawan kerana bagi saya semua pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) masing-masing mempunyai kekuatannya yang tersendiri,” ujar Nijey ketika ditemui di gerainya.
Sementara itu ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali menuntut anak buahnya memperagakan aksi terbaik bagi mengelak dijerat pasukan lawan lebih-lebih lagi beraksi pada waktu petang.
“Dalam sukan bola sepak ini pelbagai keputusan perlawanan boleh terjadi, jadi saya ingatkan pemain agar berwaspada dengan jerat pasukan lawan walaupun skuad itu berada dalam kelompok bawahan liga.
“Pada masa sama kita juga perlu bersedia dalam apa jua keadaan sekali pun termasuk cuaca kerana misi kita untuk mengutip tiga mata penuh, lagipun semua pemain bebas daripada sebarang penggantungan dan kecederaan,” ujar Badrul ketika dihubungi.
Aksi ‘derbi’ Pantai Timur itu akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada petang esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




