'Kenapa tiada tindakan terhadap Zeti dan keluarganya?' – Najib

'Kenapa tiada tindakan terhadap Zeti dan keluarganya?' – Najib

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya bersabit skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib menegaskan, tiada pendakwaan dibuat terhadap Zeti atau suaminya, Datuk Dr Tawfiq Ayman, yang menerima jutaan dolar daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Menurut Najib, tiada tindakan diambil walaupun perkara mengenai salah laku oleh keluarga Zeti didedahkan melalui keterangan bersumpah bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner.

Leissner menjadi saksi utama dalam perbicaraan jenayah bersubahat membabitkan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, Roger Ng, yang juga bekas rakan kongsinya, di Mahkamah Persekutuan Brooklyn.

Najib berkata, menurut keterangan Leissner, Tawfiq telah memanfaatkan kedudukan isterinya untuk memudahkan kelulusan pemindahan semalaman (overnight) berjumlah AS$1 bilion, namun tiada tindakan diambil terhadap Zeti mahupun suaminya.

Menurut Najib, perbicaraan itu mendedahkan bahawa atas arahan Jho Low kepada firma guaman multinasional Sherman dan Sterling, dan seterusnya kepada Iron Rhapsody Ltd, akaun yang dimiliki oleh Tawfiq telah menerima masing-masing AS$6,250,000 (RM27,937,500) dan AS$732,234 (RM3,273,084.98) pada 17 Disember 2009 dan 21 Mei 2010.

Katanya, ia juga mendedahkan Jho Low mengarahkan Asset Central Holding, iaitu sebuah syarikat yang dimilikinya, untuk memindahkan AS$1,250,000 (RM5,587,500) pada 18 Disember 2009, kepada Iron Rhapsody.

“Sehingga kini, tiada tindakan diambil terhadap Tawfiq atau Zeti walaupun terdapat bukti jelas pembabitan mereka.

“Sebaliknya, saya dipilih sebagai individu tunggal yang diburu secara agresif oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Perbezaan yang ketara ini menggariskan agenda pendakwaan politik yang disengajakan dan disasarkan terhadap saya,” katanya.

Najib berkata, beliau terkejut dengan pendakwaan terpilih, yang disifatkannya sebagai ‘sengaja membutakan mata’ walaupun hakikatnya Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) mendapati transaksi itu begitu membimbangkan sehingga mereka memaklumkan BNM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top