hafizithnin@mediaprima.com.my
MEMILIKI haiwan kesayangan menjadi keperluan sesetengah individu kerana ia mampu memberi kesan yang baik termasuk dari segi emosi. Malah, ada yang menjadikan haiwan kesayangan sebagai teman karib di rumah.
Sebenarnya ketika ini terdapat pelbagai haiwan yang mungkin dirasakan pelik atau jarang dijadikan haiwan kesayangan sudah dibela peminatnya untuk berkongsi kasih sayang.
Malah, sepanjang Kubela berkongsi pelbagai haiwan kesayangan yang mendapat perhatian pemilik, pelbagai jenis haiwan yang unik dimiliki si pemilik sudah kami laporkan.
Sebut sahaja dari kucing, siput, ulat, ular, katak sehingga serangga yang kadang-kala tidak terfikir untuk dijadikan haiwan kesayangan sudah dibela oleh ramai peminat haiwan.
Justeru, menerusi Kubela kali ini, kami ingin kongsikan enam jenis haiwan yang popular dalam kalangan peminat haiwan untuk dijadikan haiwan kesayangan di seluruh dunia.
1. Anjing
Anjing sememangnya antara yang popular dijadikan haiwan kesayangan kerana ia mempunyai keunikan dan kepintaran tersendiri. Malah, anjing juga boleh dijadikan sebagai haiwan yang menjaga keselamatan si pemilik.
Di India misalnya, 69 peratus pencinta haiwan memilih anjing sebagai haiwan kesayangan berbanding haiwan lain. Malah kepatuhan anjing kepada pemilik juga tidak dapat dinafikan.
2. Kucing
Pada 2023 terdapat kajian menunjukkan 46.5 juta isi rumah di Amerika Syarikat menjadikan kucing sebagai haiwan kesayangan mereka. Kucing yang mempunyai tahap keunikan, kepintaran dan ciri menjadikannya popular selepas anjing.
Malah, kucing juga antara haiwan comel yang sering mendapat perhatian peminat haiwan kesayangan di seluruh dunia.
3. Ikan air tawar
Meskipun ikan bukanlah seperti anjing atau kucing yang boleh dibelai tetapi hidupan air ini menjadi pilihan 11.1 juta isi rumah dalam satu kajian antarabangsa di Amerika Syarikat kerana haiwan itu mempunyai nilai terapi minda yang tersendiri kepada si pemilik.
4. Haiwan mamalia kecil
Di dalam segmen ini, haiwan mamalia kecil seperti arnab, hamster, tikus kecil, chinchilas dan ferret antara yang menjadi perhatian peminat haiwan kesayangan di Amerika Syarikat.
Ia bersandarkan kepada 6.7 juta isi rumah di negara itu menjadikan haiwan ini sebagai haiwan peliharaan. Malah, haiwan mamalia kecil ini juga sering mendapat perhatian peminat cilik kerana cirinya yang kecil dan comel.
5. Burung
Keunikan bentuk dan warna serta siulan burung menjadi perhatian ramai peminat haiwan kesayangan. Terdapat beberapa spesies haiwan ini juga mempunyai jangka hayat yang panjang.
Bagaimanapun, haiwan ini kebanyakannya tidak dibiarkan bebas kerana ia berkemampuan untuk melarikan diri.
6. Reptilia
Kegilaan peminat haiwan reptilia tidak boleh dinafikan dan mereka juga sanggup berbelanja tinggi untuk mendapatkan pelbagai jenis reptilia yang unik terutama sukar didapati di dalam negara.
Antara reptilia yang sering mendapat perhatian seperti iguana, leopord gecko dan pelbagai jenis ular yang sememangnya menonjolkan sisi unik si pemiliknya dari segi cita rasa memiliki haiwan kesayangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




