'Manalah kami nak tinggal lepas ini'

'Manalah kami nak tinggal lepas ini'

nfazlina@nstp.com.my

Rantau Panjang: Ketika mangsa banjir lain sibuk membersihkan rumah selepas dilanda banjir baru-baru ini, berbeza situasi dialami Fatimah Hamat, 80, yang masih buntu memikirkan nasibnya selepas kediamannya dihanyutkan banjir.

Rumah yang didiami Fatimah dan anak sulungnya berusia 50-an di Kampung Gual Tok Deh itu dibawa arus sehingga 10 meter dengan keadaan rumahnya yang rosak teruk akibat ditenggelami air.

Fatimah ketika ditemui berkata, sehari selepas berpindah ke rumah adiknya iaitu pada 27 November lalu, dia dimaklumkan rumah dihanyutkan banjir dan kini hanya tinggal tiang.

“Sedih tak terkata, makcik hanya mampu menitiskan air mata apabila melihat rumah berusia 30 tahun ini runtuh akibat dibawa arus banjir.

“Keadaan sekeliling rumah banyak pokok menyebabkan rumah tidak boleh pergi jauh akibat tersekat. Namun melihat keadaan rumah yang begitu teruk, makcik rasa sudah tidak boleh tinggal di rumah ini.

“Tidak tahu ke mana kami mahu duduk selepas ini. Buat sementara ini makcik menumpang di rumah adik, namun sampai bila makcik mahu menumpang,” katanya sambil menahan sebak.

Katanya, rumah berkenaan juga dibina hasil bantuan pelbagai pihak pada 30 tahun lalu dan beliau tidak menyangka ia berakhir sedemikian.

“Ini banjir paling sedih buat makcik sehingga rumah pun dibawa arus. Sejak tiga tahun lalu setiap kali banjir, rumah makcik akan tenggelam dan nampak bumbung sahaja.

“Namun kali ini ujian lebih berat buat makcik. Makcik berharap ada pihak yang sudi tampil membantu memberikan rumah untuk makcik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung mukim Lubok Gong, Ariffin Ismail, berharap pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tampil untuk membina kediaman kepada warga emas itu.

“Melihat keadaan rumah sudah tentu tidak boleh didiami dan anaknya pula hanya kerja kampung. Saya berharap ada pihak yang tampil membantu selepas ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top