nurul.hidayah@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan ibu bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin bagi menarik balik pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan perkembangan itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh dalam prosiding, hari ini.
“Representasi sudah ditaklimatkan di AGC, representasi ditolak. Pihak pendakwaan memohon satu tarikh bagi serahan dokumen termasuk laporan forensik serta dua cakera padat (CD) berkaitan kes ini sebelum perbicaraan dimulakan,” kata Raja Zaizul Faridah.
Mendengar perkara itu, Peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris yang baru dilantik mewakili Zaim Ikhwan Zahari serta Ismanira Abdul Manaf akan meneruskan untuk pemeriksaan balas saksi pendakwaan pertama.
Bagaimanapun, peguam mewakili pasangan itu meminta penangguhan tarikh hari pertama perbicaraan kes itu yang ditetapkan pada 21 hingga 24 Januari ini kerana terdapat kes sambung bicara untuk tertuduh lain di Negeri Sembilan.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 10 Januari ini bagi serahan dokumen berkaitan, manakala tarikh tambahan perbicaraan ditetapkan pada 10 hingga 14 Mac 2025.
Pada 18 September lalu, Syaliza menetapkan hari ini bagi pengurusan kes untuk mengetahui keputusan representasi selepas pembelaan memaklumkan pihaknya akan mengemukakan representasi dalam tempoh terdekat.
Sebelum ini, tarikh kes itu ditetapkan mahkamah selama 15 hari iaitu bermula 20 hingga 24 Januari 2025, 3 hingga 7 Februari, dan 17 hingga 21 Februari tahun sama.
Seramai 15 saksi pendakwaan akan dipanggil dalam perbicaraan kes berkenaan.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada Disember 2023 di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini, pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




