am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hasrat seorang bapa membantu anak-anaknya mengembangkan perniagaan menerusi keuntungan pelaburan saham tidak kesampaian selepas dia ditipu membabitkan kerugian hampir RM1 juta.
Bukan itu saja, pesara jurutera automotif itu kini turut berdepan beban kewangan yang tinggi kerana perlu membayar hutang seorang rakan dan saudara mara untuk menampung kehidupan.
Mohd Farouk, 67, berkata, dia melihat iklan mengenai pelaburan saham menggunakan nama sebuah bank antarabangsa itu pertengahan tahun ini sebelum dijemput menghadiri seminar secara atas talian Ogos lalu.
Katanya, pada masa sama, anak-anaknya yang mengusahakan perniagaan sendiri berdepan masalah dan dia mengambil jalan tengah menyertai pelaburan berkenaan bagi membantu mereka.
“Saya dibawa masuk ke dalam kumpulan WhatsApp turut disertai mangsa yang lain. Ada beberapa orang pengendali akan memberi bimbingan mengenai urusan jual beli saham saham Malaysia dan China.
“Pada awalnya, semuanya berjalan dengan baik. Saya membuat pengeluaran beberapa kali dan berjaya dalam jumlah antara RM300 hingga RM5,000.
“Sehingga saya dimaklumkan mempunyai sejumlah hampir RM13 juta di dalam akaun, saya cuba membuat pengeluaran lebih tinggi, namun urusniaga dibatalkan,” katanya.
Mohd Farouk berkata, sepanjang menjadi ‘pelabur jutawan’ itu, dia menerima dua undangan menghadiri pertemuan berkaitan pelaburan di Singapura dan Kuala Lumpur, namun selepas semakan dibuat didapati ia palsu.
Menurutnya, sindiket turut menggunakan nama Hong Kong Monetary Authority kononnya dia perlu membayar sejumlah RM100,000 untuk mengeluarkan wang pelaburan itu.
“Bila saya semak, emel diterima bukan emel rasmi, sebaliknya menggunakan alamat emel biasa.
“Saya juga menghubungi pihak berkuasa negara itu untuk pengesahan dan dimaklumkan saya menjadi mangsa penipuan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sri Muda, Shah Alam minggu lalu.
Beliau berkata, sebagai seorang bapa, dia kecewa bukan saja tidak dapat membantu anak-anaknya seperti dirancang, malah semua wang simpanannya habis dilaburkan.
Mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, dia bertindak mengumpulkan beberapa mangsa pelaburan yang sama untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya.
“Saya hubungi mereka menerusi emel jemputan ke seminar itu. Mereka juga tertipu dengan kerugian teruk. Kami berhubung dan saling bertukar-tukar maklumat mengenai tindakan lanjut,” katanya.
45 laporan, kerugian RM15.8j
Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menerima 45 laporan polis membabitkan kerugian RM15,868,467.38 berkaitan penipuan pelaburan dikenali MMCT PRO/Bank Of China International (BOCI).
Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah laporan polis yang diterima membabitkan kerugian lebih RM15 juta itu, sebanyak 34 kertas siasatan sudah dibuka.
Menurutnya, mangsa ditipu sindiket pelaburan ini berusia 25 hingga 79 tahun.
“Hasil siasatan setakat ini, sejumlah sembilan pemilik syarikat, lima perkongsian dan dua perniagaan disyaki terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan tidak wujud ini.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, Ramli mengingatkan masyarakat tidak terpedaya dengan promosi pelaburan dan menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.
“Orang ramai perlu menyemak kesahihan daripada agensi berkaitan sebelum menyertai skim pelaburan.
“Pelabur boleh mendapatkan nasihat serta maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997, portal Semak Mule, Alert Risk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd