faris.fuad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pemandu dan kelindan maut selepas treler dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbalik di Kilometer 43.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Bentong, malam tadi.
Dalam kemalangan jam 9.10 malam itu, pemandu dan kelindan masing-masing berusia 44 serta 63 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata ketika kejadian, treler jenis Volvo membawa muatan batu bongkah dalam perjalanan dari ibu negara menghala ke Bentong.
Katanya, treler berkenaan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik lalu melanggar penghadang besi di kiri jalan.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Bentong untuk bedah siasat.
“Kenderaan itu pula didapati rosak pada semua bahagian dan ketika kemalangan hujan serta jalan licin. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, orang awam mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya memandu kenderaan atau menunggang motosikal dengan berhati-hati serta mematuhi peraturan lalu lintas terutama had laju, selain memastikan kenderaan dalam keadaan selamat serta diselenggara dengan baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



