KPKT arah semua PBT warta Tanah Lapang Awam, elak salahguna

KPKT arah semua PBT warta Tanah Lapang Awam, elak salahguna

am@hmetro.com.my

Taiping: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mewartakan kawasan Tanah Lapang Awam (TLA) bermula 2025 sebagai usaha menghindari salahguna tanah itu seperti pertanian.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ketika ini Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) mendapati cuma terdapat 39 peratus daripada keseluruhan 20,868 hektar TLA di negara ini diwartakan.

Katanya, selain menghindari salahguna tanah, pewartaan itu juga penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara taman terindah di rantau Asia khususnya usaha KPKT yang ketika ini giat membangunkan Taman Rekreasi Madani berhampiran penempatan penduduk.

“Cuma hanya 39 peratus dari 20,868 hektar TLA yang boleh dibangunkan sebagai Taman Awam Madani diwartakan. “Oleh itu saya arahkan semua PBT kena wartakan TLA pada tahun depan supaya ia tidak boleh disalahgunakan lagi.

“Ia boleh dijadikan tapak sesuai yang boleh diberikan peruntukan oleh Jabatan Landskap Negara (JLN) serta Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk dibangunkan sebagai taman untuk kegunaan ruang terbuka dan komuniti serta penduduk setempat.

“Kebanyakan TLA ini pada asalnya diserahkan oleh pihak swasta ketika mereka membuat pembangunan, iaitu sebelum mendapat kelulusan merancang untuk dibangunkan sebagai taman. Disebabkan tidak diwarta, ia memberi ruang untuk disalah guna seperti pertanian dan membina premis kedai,” katanya.

Kor Ming berkata demikian ketika sidang media program Sentuhan Kejayaan Pencapaian Jabatan Landskap Negara 2024 & Pelancaran Dasar Landskap Negara 2.0 di sini, hari ini.

Pada Julai 2022, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor meminta semua kerajaan negeri mempercepatkan proses pewartaan kawasan TLA di negeri masing-masing berikutan kerajaan menetapkan sasaran sebanyak dua hektar tanah lapang untuk 1,000 penduduk bandar.

Kor Ming berkata, pembangunan taman khususnya berhampiran penempatan penduduk penting sebagai fungsi fisioterapi yang dapat mengurangkan masalah kesihatan mental selain daya penarik untuk membeli kediaman.

“Ramai orang lepas mengeluarkan peluh dekat taman, tekanan yang dihadapi akan rasa dilepaskan dan itu penting. Ketika ini orang bukan hanya membeli rumah, namun turut membeli gaya hidup yang datang bersama rumah itu,” katanya.

Menurutnya, sepanjang 2024, KPKT menerusi JLN berjaya membangunkan 109 projek pembangunan landskap di seluruh negara termasuk 102 projek berupa pembangunan Taman Rekreasi Madani membabitkan perbelanjaan sebagai RM51.9 juta.

Dalam perkembangan lain, Kor Ming berkata, KPKT menerusi Jabatan Landskap Negara sudah melancarkan buku 200 jenis pokok asli tempatan yang dapat digunakan oleh PBT sebagai rujukan sebelum menanam pokok khususnya di pinggiran jalan.

Katanya, 200 jenis pokok asli dari baka tempatan itu dikenal pasti menerusi penyelidikan bersama beberapa institusi pengajian tinggi iaitu sebagai inisiatif mengelakkan kejadian pokok tumbang sehingga mengakibatkan kerosakan malah kemalangan jiwa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top