bhrencana@bh.com.my
JABATAN Perangkaan Malaysia mengumumkan penurunan kadar pengangguran untuk Februari tahun ini kepada 4.8 peratus, berbanding 4.9 peratus pada Januari lalu.
Ini menandakan pemulihan pasaran buruh sedang berlaku, manakala trend ini pula dijangka berterusan jika aktiviti ekonomi terus dibuka.
Hakikatnya, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan pada Januari lalu dan fasiliti pengeluaran dana persaraan dilihat menyuntik rangsangan kepada pemulihan sukuan pertama 2021.
Dalam pada itu, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan kadar pengangguran 2021 akan menyusut kepada 3.8 peratus.
Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS pula mengunjurkan kadar pengangguran menurun sekitar 4.2 peratus kepada 4.3 peratus, selepas mengambil kira jangkaan kadar pertumbuhan ekonomi negara yang berada antara 6.5 peratus hingga 7.5 peratus.
Walaupun kedua-dua unjuran kadar pengangguran menunjukkan penurunan, ia masih di atas paras normal, iaitu sekitar 3.3 peratus.
Negara jiran di rantau ASEAN turut mengunjur penurunan kadar pengangguran pada 2021.
Kadar pengangguran di Singapura diunjur menurun daripada 3.1 peratus kepada 2.8 peratus, manakala di Indonesia pula dianggar berkurangan daripada 7.1 peratus kepada 6.5 peratus. Malah, trend sama turut diramal di negara serantau, iaitu Thailand dan Filipina.
Fasa pemulihan ekonomi pada 2021 amat kritikal bagi memulih semula pasaran buruh di negara ini, ke arah lebih baik.
Pembukaan semula ekonomi dan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dapat membantu perniagaan, khususnya sektor perkhidmatan untuk menjana jualan dan pekerjaan.
Walaupun pasaran buruh 2021 dilihat lebih baik berbanding tahun lalu, masih banyak pemulihan perlu dilakukan.
Dalam proses pemulihan itu, ada empat cabaran utama akan dihadapi pasaran buruh tahun ini.
Pertama, permintaan tenaga buruh di semua sektor, kemahiran dan lokasi geografi dijangka ber- ubah ketara.
Lepasan sekolah dan graduan dijangka menghadapi kesukaran kerana pekerjaan serta kemahiran dijana dalam tempoh pemulihan ekonomi adalah terhad.
Persaingan yang tinggi ke atas sesuatu pekerjaan pula akan menekan kadar gaji dan upah.
Kedua, transformasi struktur ke atas pasaran buruh dipengaruhi perkembangan teknologi digital dan automasi pekerjaan. Kadar transformasi ini dilihat lebih pantas berlaku pada pasca COVID-19.
Akibatnya, sesetengah pekerjaan terkesan akibat krisis pandemik, berkemungkinan tidak akan diwujudkan kembali.
Beberapa kemahiran juga mungkin tidak diperlukan lagi dalam pekerjaan baharu. Transformasi struktur ini jika tidak diberi perhatian, berpotensi meningkatkan risiko ketidakseimbangan permintaan-penawaran pasaran buruh.
Ketiga, peningkatan jurang permintaan-penawaran antara faktor mempengaruhi peralihan kepada pekerjaan informal.
Selama tempoh pasca krisis, jaringan keselamatan dan kelangsungan pendapatan menjadi faktor utama kepada buruh dan pekerjaan informal, dilihat menjadi pilihan pantas yang boleh diceburi.
Keempat, gaji dan upah untuk beberapa pekerjaan dijangka menunjukkan kenaikan yang lebih perlahan dengan gaji dan upah cenderung untuk tidak stabil dalam kebanyakan pekerjaan.
Gaji dan upah adalah isu struktural yang dijangka mengambil masa lebih lama untuk pulih berbanding penjanaan pekerjaan.
Penyelidik Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, PERKESO
© New Straits Times Press (M) Bhd