Pempengaruh dan usahawan, Rose Azlin Rosli atau lebih dikenali dengan nama Kak Nona mendedahkan famili menjadi pendorong terhadap setiap perkara yang dilakukan.
Percaya rezeki semakin murah kerana memuliakan keluarga, anak kepada pelakon legenda Normah Damanhuri itu kini bergiat aktif sebagai pengasas bersama syarikat pengurusan acara RAR Sky Sdn Bhd bersama suami, Iskandar Ali.


Menurut kakak kepada usahawan sensasi Kak KM itu, dia percaya rezeki mereka sekeluarga akan lebih murah jika mengutamakan keluarga dalam setiap perkara.
“Saya dan suami sentiasa utamakan keluarga. Mereka adalah nombor satu dalam hidup kami. Kami berkongsi rezeki dengan mereka.
“Seperti contoh, walaupun jadual Kak KM padat, setiap acara yang kami anjurkan terasa kurang lengkap tanpa kehadiran Kak KM. Jadi, kami akan cari masa sesuai ketika Kak KM sedang tidak sibuk. Kami juga lebih selesa bekerja sesama keluarga kerana sudah memahami kelebihan masing-masing.
“Sebagai contoh, jika anak buah ada bakat dalam fotografi, kami akan tawarkan kerja kepadanya dahulu. Begitu juga untuk menjaga booth kedai, kami libatkan ahli keluarga sebelum menawarkan peluang itu kepada orang luar,” katanya.
Kak Nona menekankan pentingnya mendidik generasi muda dalam keluarga tentang usaha dan kesungguhan mencari rezeki.
“Kadang-kadang anak-anak yang membesar dalam kesenangan tidak sedar susah payah yang dilalui untuk mendapatkan duit. Jadi, mereka perlu belajar dari bawah untuk menghargai usaha itu,” jelasnya.
Kak Nona berkongsi perkara terbabit ketika ditemui di Majlis Pelancaran Festival Kampung Tradisi di SUK Selangor, Shah Alam, pada Isnin.

Acara yang dianjurkan oleh Adikara dan RAR Sky Sdn Bhd itu bakal berlangsung selama empat hari bermula 12 Disember di Dataran Pantai Morib, Selangor.
Festival ini bertujuan untuk meraikan warisan budaya Melayu dan memperkenalkan tradisi unik kepada generasi baharu.


“Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan, termasuk permainan rakyat, persembahan seni tradisional, dan sajian makanan kampung yang istimewa seperti dari perkampungan Mat Kilau,” tambah Kak Nona.
Acara tersebut turut menampilkan barisan selebriti yang bukan sahaja berniaga, tetapi juga membuat persembahan, termasuk Aan Ways, Azan Scan, Kak KM, Keena Mentor, dan Kumpulan Kristal.
Kasih Sayang Sebagai Warisan Keluarga
Kak Nona turut berkongsi betapa eratnya hubungan kekeluargaan mereka, yang dipupuk sejak kecil oleh kedua ibu bapanya.
“Mak dan arwah ayah membesarkan kami dengan penuh kasih sayang. Kami belajar menghormati dan menyayangi satu sama lain.
“Kami juga terapkan nilai-nilai ini kepada anak-anak kami agar mereka menghargai hubungan adik-beradik,” katanya.


Dengan semangat kekeluargaan yang kukuh dan keinginan untuk memartabatkan budaya, Kak Nona berharap Festival Kampung Tradisi dapat menjadi platform untuk masyarakat menghargai warisan yang kaya ini.
“Ia bukan sekadar festival, tetapi satu usaha untuk menghidupkan kembali identiti budaya yang mungkin semakin dilupakan,” ujarnya.



