Putrajaya: Mahkamah Persekutuan menangguhkan pendengaran empat rayuan sementara menunggu keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sedang mempertimbang permohonan kewarganegaraan pihak terbabit.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel lima hakim, menetapkan 27 Januari depan untuk para peguam yang mewakili kerajaan dan individu terbabit memaklumkan mahkamah mengenai perkara itu.
Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.
Rayuan itu dikemukakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Family Frontiers yang mewakili sekumpulan ibu warga Malaysia dan empat individu terbabit iaitu Mahisha Sulaiha Abdul Majeed, Tan Soo Yin, Azimah Hamzah dan Mohanasengri.
Bagaimanapun, mahkamah membatalkan rayuan Mohanasengri selepas beliau menarik balik kesnya.
Mohanasengri dilahirkan di Malaysia oleh ibunya seorang wanita Singapura manakala bapanya adalah warganegara.
Terdahulu, beberapa peguam perayu memaklumkan mahkamah bahawa pindaan terhadap undang-undang membabitkan kewarganegaraan yang diluluskan oleh Parlimen pada awal tahun ini tidak akan menjejaskan kes itu kerana ia hanya diguna pakai secara prospektif.
Bagi Mahisha, peguam Datuk Dr Cyrus Das berkata permohonan kewarganegaraan beliau telah diluluskan melalui proses naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau berkata, memandangkan kewarganegaraan Mahisha tidak diperoleh secara automatik maka anak-anaknya secara automatik tidak layak mendapat kerakyatan Malaysia.
Mahisha dilahirkan di India oleh ibunya seorang warga Malaysia manakala bapanya ialah rakyat India.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Kerajaan Malaysia, KDN dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), berkata Mahisha perlu mengemukakan permohonan berasingan bagi status kewarganegaraan anak-anaknya untuk dipertimbangkan oleh KDN.
Beliau berkata kerajaan telah memberikan komitmen untuk menyegerakan permohonan kewarganegaraan sedia ada.
Shamsul merujuk kepada Hansard Parlimen semasa perbahasan rang undang-undang pindaan terhadap undang-undang berkaitan kewarganegaraan iaitu sejumlah 19,370 daripada 32,153 permohonan yang diterima sedang diproses.
Das pula memaklumkan mahkamah bahawa Mahisha belum mengemukakan permohonan kewarganegaraan bagi anak-anaknya tetapi beliau akan berbuat demikian.
Berhubung kes tidak bernegara membabitkan Azimah dan Tan, mahkamah dimaklumkan bahawa mereka telah memohon kewarganegaraan namun masih belum diputuskan.
Azimah dilahirkan di Pahang oleh ibu bapanya yang merupakan pelarian Kemboja yang kemudian menjadi warganegara Malaysia manakala Tan, yang dilahirkan di Johor, tidak tahu siapa ibu bapanya.
Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, yang mewakili Family Frontiers dan enam ibu warga Malaysia, pula berkata meskipun anak keenam-enam wanita telah diberikan kerakyatan, kedudukan mereka yang diwakili oleh NGO lain masih belum pasti.
Family Frontiers dan keenam-enam wanita merayu keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan dalam mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang memberikan kerakyatan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




