Sudah biasa naik perahu ke sekolah ketika banjir

Sudah biasa naik perahu ke sekolah ketika banjir

am@hmetro.com.my

Gua Musang: “Dah biasa… hampir setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh saya akan pergi atau balik sekolah dengan menggunakan perahu sebelum menaiki kenderaan ke sekolah,” katanya Nur Fatin Hanina Muhd Naim, 17, yang tinggal di Kampung Limau Kasturi di sini.

Menurut pelajar tingkatan lima itu, hampir setiap tahun, keluarganya yang tinggal di Kampung Limau Kasturi akan terputus hubungan apabila jambatan yang menjadi laluan utama keluar masuk ke perkampungan itu ditenggelami air.

Semalam, dilaporkan lebih 3,000 penduduk yang tinggal di perkampungan Kampung Limau Kasturi, Kampung Batu 14 dan Kampung Serian, di sini, terkandas apabila jambatan dinaiki air Sungai Kerak.

Situasi itu terpaksa di lalui penduduk hampir setiap tahun apabila tibanya musim tengkujuh dan banjir.

Bercerita lanjut Nur Fatin Hanina yang kini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap di sini berkata, dia tidak tinggal di asrama kerana lebih selesa belajar di rumah.

Katanya, apabila keadaan banjir dan jambatan dinaiki air dia bersama seorang lagi adik, Nur Azwa Shafrina, 16, akan menggunakan perahu untuk pulang ke rumah.

“Kami dah biasa dengan situasi ini, hampir setiap tahun akan laluinya dan lebih selesa belajar di rumah.

“Tambahan pula, untuk SPM tahun ini, saya menggunakan pelbagai sumber untuk mengulang kaji pelajaran termasuk telefon pintar bagi mendapatkan info subjek yang diulang kaji.

“Pagi tadi saya menumpang saudara untuk ke sekolah di SMK Sungai Asap yang jaraknya hampir 30 kilometer. Namun, pada petang semalam untuk sampai ke rumah saya terpaksa menaiki perahu,” katanya ketika ditemui di Kampung Limau Kasturi, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, pada pagi ini, air Sungai Kerak sudah surut dan boleh dilalui oleh semua kenderaan.

“Alhamdulillah. Air sungai sudah surut dan boleh dilalui oleh penduduk kampung,” katanya.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Nor Azizi Che Noh, kebanyakan sungai di daerah ini menunjukkan trend menurun.

“Alhamdulillah cuaca semakin baik dan sungai di beberapa kawasan menunjukkan trend menurun,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top