Bimbing City tugasan terakhir Guardiola peringkat kelab

Bimbing City tugasan terakhir Guardiola peringkat kelab

London: Pep Guardiola mengesahkan bahawa beliau tidak bercadang untuk menguruskan mana-mana kelab lain selepas meninggalkan Manchester City, tetapi tidak menolak kemungkinan melatih pasukan kebangsaan pada masa depan.

Pengurus berusia 53 tahun itu berkongsi pandangannya dalam satu temu bual bersama chef selebriti Sepanyol, Dani Garcia, yang dimuat naik di saluran YouTube Garcia, tidak lama selepas beliau menandatangani lanjutan kontrak dengan City pada November lalu.

“Saya rasa ini sudah cukup. Saya akan berhenti. Saya tidak akan mengambil alih mana-mana pasukan lain,” kata Guardiola.

“Saya tidak bercakap tentang masa depan jangka panjang, tetapi apa yang saya pasti adalah saya tidak akan meninggalkan Man City, pergi ke negara lain, dan melakukan perkara yang sama seperti sekarang.

“Saya tidak ada tenaga untuk itu. Fikiran untuk bermula dari bawah, semua latihan, dan sebagainya… Tidak, tidak, tidak! Mungkin pasukan kebangsaan, itu berbeza.”

Guardiola turut meluahkan keinginan untuk berehat selepas tamat kariernya di kelab.

“Saya mahu tinggalkan ini dan bermain golf, tetapi saya tidak boleh. Saya rasa berhenti seketika akan memberi manfaat kepada saya,” tambahnya.

Bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu sebelum ini pernah menyuarakan minatnya untuk mencuba karier di peringkat antarabangsa.

“Latihan pasukan kebangsaan berbeza. Ia tidak membabitkan sesi harian atau perlawanan setiap tiga hari,” jelasnya.

“Berhenti sementara memberi peluang untuk melihat apa yang dicapai, apa yang boleh diperbaiki, kerana ketika anda sibuk setiap hari, anda tidak banyak masa untuk berehat.”

Selain berbincang mengenai bola sepak, perbualan itu turut menyentuh gaya hidup Guardiola, minatnya terhadap makanan, serta rancangannya untuk suatu hari mempelajari bahasa Perancis, bermain golf, dan belajar memasak.

“Berhenti seketika akan memberi manfaat kepada saya,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top