sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menaruh harapan tinggi kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mendapatkan sekurang-kurangnya dua pingat emas di temasya Sukan Olimpik akan datang selepas terbinanya sebuah ibu pejabat baharu di Bukit Jalil nanti.
Jelasnya, beliau optimis dengan kemampuan MOM untuk membantu setiap persatuan dalam menyediakan skuad terbaik sekali gus tampil dengan kekuatan lebih hebat pada temasya empat tahun sekali itu.
“Sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah bermurah hati bagi pihak kerajaan membantu MOM untuk membina bangunan baru (ibu pejabat), dan saya mengharapkan bangunan baru di Bukit Jalil ini akan memberikan motivasi baru bagi MOM untuk membawa atlet-atlet kita bagi menghadapi Sukan Olimpik.
“Malah itu melibatkan sukan-sukan di peringkat serantau dengan sekurang-kurangnya dua pingat emas di dalam temasya Olimpik yang akan datang,” katanya semasa dalam ucapan majlis Malam Anugerah MOM ke-27 di sebuah hotel di ibu kota, malam ini.
Turut hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Hannah dan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Selain itu, Zahid turut menambah pembangunan sukan yang terdiri daripada kementerian,
agensi-agensi yang terlibat serta badan-badan sukan di peringkat nasional serta negeri juga memainkan peranan penting dalam ushaha memastikan setiap atlet berjaya dalam sukan masing-masing.
“Anda semua yang berada di hadapan saya hari ini, adalah tulang belakang kepada kejayaan ini. Dedikasi, usaha gigih, dan semangat anda menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan di Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, setakat ini, Malaysia belum pernah menang emas di pentas olimpik dan di Paris 2024 lalu, atlet negara sekadar membawa pulang dua pingat gangsa menerusi sukan badminton yang disumbangkan oleh beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia.
Pencapaian terbaik Malaysia di pentas tertinggi dunia itu adalah Rio 2016 apabila berjaya memenangi empat perak dan satu gangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




