Nilai bersih kekayaan Elon Musk melepasi RM1.7 trilion

Nilai bersih kekayaan Elon Musk melepasi RM1.7 trilion

Washington: Nilai bersih kekayaan pemilik Tesla dan SpaceX, Elon Musk melepasi AS$400 bilion (RM1.772 trilon), menurut Indeks Bilionair Bloomberg.

Angka semalam itu, menetapkan satu pencapaian baharu untuk orang terkaya di dunia.

Lonjakan kekayaan, lapor saluran berita perniagaan, berlaku selepas SpaceX dan pelaburnya bersetuju untuk membeli AS$1.25 bilion (RM5.54 bilion) saham dalaman menerusi urus niaga yang menilai syarikat roket dan satelit itu pada kira-kira AS$350 bilion (RM1,551.11 bilion).

Transaksi itu meningkatkan kekayaan peribadi Musk kira-kira AS$50 bilion (RM221.59 bilion) kepada AS$440 bilion (RM1.94 trilion), kata Bloomberg.

Kekayaan Musk, sebahagian besarnya berdasarkan harga saham Tesla dan penilaian SpaceX, mengambil lonjakan besar selepas Donald Trump memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat bulan lalu.

Harga saham Tesla naik kira-kira 65 peratus sejak hari pengundian pada November lalu.

Musk menjadi penderma politik terkemuka dan penyokong Trump, menyumbang AS$270 juta (kira-kira RM1.1 bilion) dalam kempen Republikan.

Beliau menjadi pendamping setia untuk Trump sejak kemenangan pilihan raya itu termasuk menjemputnya untuk menonton pelancaran roket di Texas oleh syarikat SpaceX miliknya.

Perniagaan Musk semuanya mempunyai tahap interaksi yang berbeza-beza dengan kerajaan AS dan asing serta hubungan rapatnya dengan Trump menimbulkan kebimbangan Musk akan memberi kelebihan kepada kepentingannya sendiri.

Musk juga dijangka mendapat pengurangan dalam peraturan untuk Tesla serta penghapusan kredit cukai ke atas kenderaan elektrik yang akan ‘menghukum’ pesaing pembuat kereta itu.

Trump memilih Musk untuk mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan, yang bersedia untuk memberikan berbilion dolar pemotongan dalam perbelanjaan persekutuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top