Sri Pahang buru kemenangan di Manjung

Sri Pahang buru kemenangan di Manjung

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Kemenangan menjadi misi utama Sri Pahang FC apabila berdepan Perak FC pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam esok.

Pengendalinya, Fandi Ahmad berkata, tiada yang lebih bermakna apabila meraih bekalan selesa untuk dibawa pada suku akhir kedua beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, 22 Disember ini.

“Insha-Allah, kita akan berusaha sedia upaya mendapatkan keputusan yang baik untuk dibawa pulang dan mudah-mudahan semua pemain mempamerkan permainan terbaik mereka.

“Oleh itu, apa yang perlu dilakukan pemain ialah menjaringkan gol awal dan memastikan kemenangan pada perlawanan pertama ini.

“Penyerang, Kpah Sherman tetap menjadi sandaran utama pasukan di bahagian serangan dan saya doakan dia dapat membantu pasukan.

“Namun, pemain perlu lebih berwaspada kerana kekuatan Perak adalah daripada segi kerjasama berpasukan kerana mereka mempunyai ramai pemain muda yang sering menunjukkan kemahuan serta memiliki kecergasan tinggi,” katanya legenda bola sepak Singapura itu.

Sementara itu, Fandi mengesahkan hasrat untuk menyenaraikan pertahanan import, Stefano Brundo tidak kesampaian walaupun sudah pulih daripada kecederaan.

Katanya, ini kerana beliau tidak dapat menguji tahap kecergasan pemain berusia 31 tahun itu disebabkan baharu menyertai sesi latihan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top