Josue harap kekal momentum lawan Thailand

Josue harap kekal momentum lawan Thailand

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyerang naturalisasi, Paulo Josue menjadi wira apabila menjaringkan dua gol penting untuk membantu Harimau Malaya bangkit menewaskan Timor Leste 3-2 dalam perlawanan Kumpulan A Piala Asean di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Josue yang juga kelahiran Brazil, menjaringkan gol pada minit ke-70 dan ke-83 selepas Timor Leste secara mengejut mendahului 2-1 menerusi jaringan Olagar Xavier (m-46) dan Joao Pedro (m-48) ketika rehat.

Sebelum itu, Syafiq Ahmad membuka jaringan untuk Malaysia pada minit ke-37.

Josue yang kini menjaringkan enam gol dalam 19 penampilan bersama Malaysia, yakin kemenangan dramatik ini mampu meningkatkan semangat pasukan menjelang perlawanan mencabar menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Sabtu ini.

“Saya yakin kerana pasukan lawan tidak mampu lagi melakukan larian. Empat atau lima pemain mereka mengalami kekejangan.

“Kami hanya perlu memastikan hantaran terakhir tepat, hantaran silang baik, sentuhan akhir kemas dan sedikit ketenangan untuk menyelesaikan serangan.

“Kami hampir menjaringkan gol beberapa kali sebelum akhirnya berjaya. Saya perlu berterima kasih kepada rakan sepasukan, ambil masa untuk berehat, dan seperti yang jurulatih katakan, pergi ke Thailand dan dapatkan keputusan yang baik di sana,” kata pemain berusia 35 tahun itu.

Walaupun menang, segelintir penyokong di stadium tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa pemain, terutama tonggak muda Najmuddin Akmal Kamal Akmal, yang menerima ejekan ketika rehat separuh masa dan apabila digantikan pada minit ke-61.

Josue yang juga kapten Kuala Lumpur (KL) City menegaskan dia bersama pemain senior lain akan terus menyokong pemain muda Harimau Malaya untuk menghadapi tekanan dan jangkaan peminat.

“Kami ada di sini untuk membantu dan menyokong mereka. Saya rasa semua pemain muda memberikan yang terbaik.

“Ini kali pertama kami bermain bersama dan hanya ada dua hingga tiga hari untuk bersedia selepas perlawanan menentang Kemboja.

“Kami tidak ada masa yang mencukupi untuk berlatih kerana perlu berehat sebelum perlawanan seterusnya. Jadi, bukan mudah untuk mempelajari semuanya seperti yang dirancang jurulatih,” katanya.

Malaysia kini bersiap untuk perlawanan menentang Thailand dengan Josue berharap momentum kemenangan dapat diteruskan walaupun cabaran di Stadium Rajamangala dijangka lebih sengit.

Harimau Malaya perlu memberikan segala-galanya untuk memastikan peluang mara ke separuh akhir terus terbuka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top