am@hmetro.com.my
Shah Alam: Walaupun diharamkan namun masih ada peniaga dikesan menjual ikan ‘alien’ ( asing ) spesis Flower Horn di pasaran.
Ini terbukti apabila seorang peniaga wanita berusia 29 tahun diambil tindakan oleh Jabatan Perikanan selepas didapati memiliki 20 ekor ikan larangan spesis Genus Cichlasoma itu.
Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, kegiatan itu berjaya ditumpaskan hasil aduan awam sebelum pihaknya menyerbu premis di Taman OUG, Kuala Lumpur, 13 Ogos lalu.
Menurutnya, pemilik premis didapati menjual dan mempamer ikan Flower Horn tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Pengurus premis yang juga wanita berusia 29 tahun turut mengaku memiliki ikan berkenaan ketika serbuan dijalankan,” katanya semalam.
Noraisyah berkata, kompaun sebanyak RM 500 dikeluarkan ke atas wanita itu atas kesalahan mengikut Subperaturan 2(1) Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, Dsb, Bagi Ikan) (Pindaan) 2024.
Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung pemilikan atau penjualan ikan larangan di mana-mana lokasi dalam Selangor diminta melaporkannya kepada Pejabat Perikanan Selangor atau Pejabat Perikanan Daerah terdekat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau syarikat yang melanggar peraturan ini.
“Ketidakpatuhan terhadap peraturan ini tidak boleh dipandang ringan. Kehadiran ikan-ikan larangan yang disenaraikan dalam jadual boleh mengganggu keseimbangan ekosistem akuatik dan mendominasi perairan sungai di Selangor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




