Kontraktor rumput tiruan, BaNi Rahman telah memadam hantaran media sosialnya yang mendakwa pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta gagal melunaskan bayaran untuk perkhidmatannya.
Keputusan itu dibuat selepas hutang berjumlah RM7,000 diselesaikan oleh seorang sahabat baik Che Ta, usahawan Anas Zahrin.
Dalam hantaran terbarunya di Facebook, BaNi meluahkan rasa syukur atas pertolongan Anas.
“Syukur Alhamdulillah dia dah tolong selesaikan bayaran sebanyak RM7,000 kepada saya. Allahu betul tak sangka. Ini betul sahabat dunia akhirat. Tak pernah lagi jumpa sahabat macam ini. Bukan senang nak dapat sahabat baik macam ini.
“Sudi tolong Rozita waktu dia tengah susah. Diam-diam pula tu tanpa pengetahuan Rozita. Terima kasih banyak tuan Anas Zahrin sudi selesaikan bayaran ini. Moga tuan dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki,” tulisnya.
BaNi turut menyatakan bahawa wang tersebut akan digunakan untuk merealisasikan impiannya mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah.
“Memang dari dulu lagi teringin sangat nak pergi umrah. Moga Allah SWT jemput saya ke sana,” katanya sambil menambah bahawa dia kini sedang mencari agensi umrah yang sesuai.
Terdahulu, isu ini mula mendapat perhatian selepas BaNi mendakwa syarikatnya, BANI Grass, telah diupah untuk memasang rumput tiruan di kediaman Che Ta.
Menurut BaNi, dia sudah melaksanakan kerja asas hingga ke peringkat akhir sebelum pelakon itu memilih syarikat lain untuk menyempurnakan pemasangan rumput tersebut.
Difahamkan, Che Ta memberi alasan bahawa rumput tiruan itu ditaja oleh pihak lain. Namun, permintaan BaNi untuk bayaran upah kerja selama seminggu berulang-alik dari Melaka serta kos bahan yang telah digunakan tidak mendapat maklum balas, menyebabkan dia meluahkan rasa kecewa di media sosial.
Hantaran tersebut kemudian menjadi tular, mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen.
BaNi tidak menyangka apa yang dimuat naiknya mendapat perhatian ramai sehingga akhirnya menarik perhatian Anas selaku sahabat baik Che Ta tampil menyelesaikan bayaran tersebut.




