Kelantan Red Warrior FC sah dirasmikan Sabtu ini

Kelantan Red Warrior FC sah dirasmikan Sabtu ini

sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kelantan Red Warrior FC (KRW) yang diwar-warkan menggantikan Kelantan FC akan dirasmikan Sabtu ini.

Pengumuman itu dibuat hari ini dalam satu kenyataan rasmi di laman Facebook, KRW, tiga jam lalu yang sudah mendapat 525 tanda suka, 148 komen dan 109 perkongsian.

Menerusi kenyataan itu, pihak pengurusan memaklumkan majlis perasmian pasukan akan diadakan di Hotel Grand Renai, Kota Bharu pada 21 Disember ini dengan menjemput media dan penyokong untuk hadir sama pada hari berkenaan.

“Majlis ini lebih daripada sekadar pelancaran sebuah kelab bola sepak, ia simbol harapan, kebangkitan dan semangat seluruh rakyat Kelantan.

“Sokongan anda adalah tulang belakang kepada Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) ini, kita akan membina masa depan baharu bola sepak Kelantan dan mengembalikan kegemilangan yang pernah kita miliki,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, KRW membuat kejutan apabila mewujudkan laman rasmi Facebook sebagai tanda kemunculan semula The Red Warrior (TRW) dengan menggunakan nama KRW.

Lebih menarik, penubuhan KRW turut mendapat ‘restu’ ultras Kelantan, Gate H Boys yang menjadi penyokong tegar pasukan.

Namun butiran lanjut berkenaan barisan pengurusan, pemain, ketua jurulatih dan liga mana yang akan disertai kelab itu tidak dimaklumkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top