Cavendish gembira usahanya dihargai

Cavendish gembira usahanya dihargai

London: Mark Cavendish berkata dia gembira apabila apa yang dilakukannya selama ini akhirnya dihargai selepas disahkan akan menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada majlis Personaliti Sukan Terbaik BBC esok.

Ramai meluahkan rasa terkejut apabila Cavendish, 39, tidak tersenarai dalam enam calon yang diumumkan minggu lalu.

Namun, BBC kini mengesahkan bahawa Cavendish, yang berlumba kali terakhir di Singapura bulan lalu akan diberi penghormatan di atas pentas di Media City, Salford.

Cavendish menangguhkan persaraannya yang sepatutnya pada penghujung 2023 untuk melakar rekod pada percubaan terakhir dengan meraih kemenangan peringkat di Tour de France musim panas tahun ini.

Dia berjaya mencapai matlamatnya, meraih kemenangan peringkat ke-35 dalam kerjayanya pada peringkat kelima perlumbaan tahun ini, yang membolehkannya mengatasi legenda Belgium, Eddy Merckx.

Ia adalah kemenangan ke-165 dalam kerjaya profesional Cavendish dan berlaku 16 tahun selepas kemenangan peringkat pertamanya di Tour de France pada 2008.

“Itulah perkara yang paling saya banggakan – keupayaan untuk bertahan dari segi daya saing saya,” kata Cavendish.

“Sukar untuk difikirkan bahawa sudah 13 tahun sejak saya memenangi Anugerah Personaliti Sukan pada 2011.”

Kemenangan itu datang di penghujung tahun luar biasa dalam sejarah berbasikal, di mana Cavendish meraih lima kemenangan peringkat di TdF, termasuk peringkat terakhir di Paris untuk kali ketiga berturut-turut.

Dia turut menyarung jersi hijau yang diberikan kepada pelumba pecut yang meraih mata terbanyak dan menjadi pelumba British pertama sejak Tom Simpson pada 1965, memenangi Kejuaraan Dunia dalam acara lebuh raya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top