amir_hamid@mediaprima.com.my
Bangi: Eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia meningkat RM12.5 bilion kepada RM99.3 bilion setakat November tahun ini, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari berkata, bagi tempoh Januari hingga November lalu, India kekal sebagai pasaran terbesar bagi minyak sawit Malaysia dengan 2.9 juta tan (18.5 peratus), diikuti China (1.3 juta tan), Kesatuan Eropah (EU) (1.2 juta tan), Kenya (1.1 juta tan), Turkiye (832,000 tan), Filipina (611,000 tan) dan Jepun (553,000 tan).
Beliau berkata, tujuh pasaran ini secara kolektif menyumbang 54.4 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia untuk tempoh 11 bulan pertama tahun ini.
“Jadi untuk (sepanjang) 2024 ini, saya jangkakan (eksport ini akan) lebih daripada apa yang berlaku pada 2023.
“Oleh kerana komoditi ini sangat penting kepada negara, sudah tentu kena pastikan propaganda yang dimainkan pengeluar minyak lain, yang bersaing dengan kelapa sawit ini kita dapat pertahankan dengan profesional, berfakta dan (dengan hasil) penyelidikan kita,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2024, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof (kanan), Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Johari berkata, beliau mahu MPOB memberi penekanan kepada tiga aspek penting termasuk soal kemampanan industri kelapa sawit negara.
“Kemampanan tanaman sawit kita termasuklah aplikasi dan perkara membabitkan ekonomi sekular. Mana-mana ruang yang kita ada, boleh dimanfaatkan untuk menjana ekonomi baru.
“Kedua, mengenai kita punya ‘nutritional value’, apakah kebaikan kelapa sawit ini… kena buat penyelidikan dan bekerjasama dengan mana-mana institusi untuk kita kemukakan penyelidikan ini supaya kita melawan propaganda terhadap kelapa sawit,” katanya.
Menurutnya, aspek ketiga adalah mengenai hasil penyelidikan berkaitan manfaat yang terdapat daripada kelapa sawit.
“Ini semua kita kena tumpukan penyelidikan kita sebagai ‘defence mecanisme’ untuk memastikan mana-mana negara di luar sana yang dimomokkan mengenai kelapa sawit ini, sebenarnya tidak benar.
“Kelapa sawit kita penyumbang ketiga dari segi nilai eksport dalam negara selepas sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta minyak dan gas,” katanya.
Menyentuh industri getah negara, Johari berkata, Malaysia dan Thailand akan meningkatkan kerjasama untuk memastikan kemampanan dalam industri ini khususnya bagi memenuhi komitmen eksportnya ke luar negara.
“Tadi saya hadir dalam mesyuarat bilateral Perdana Menteri (Thailand) dan menteri dari Thailand.
“Salah satu komoditi yang kita kerjasama adalah pengeluaran getah. Dulu, kita nombor satu dunia, sekarang Thailand pengeksport getah dan kita banyak beli getah daripada dia.
“Jadi kita ada kerjasama, saya maklum kepada Menteri Pertanian mereka, bahawa Malaysia ingin menumpukan pengeksportan getah yang mampan.
“Jadi beliau bersetuju, mereka pun sedang menumpukan perkara ini,” katanya.
Johari berkata, jumlah import getah Malaysia dari Thailand bagi tempoh setahun adalah AS$950 (RM4.4 bilion), sementara jumlah eksport negara hanya AS$105 juta saja (RM467 juta).
“Banyak produk getah kita import tetapi kita eksport balik ke luar negara.
“Sebab itu, kedua-dua negara ini mesti ada kemampanan (produk dan industri getah). Kalau dia mampan, maka Malaysia dan Thailand akan dapat manfaatnya.
“Disamping Malaysia akan tumpukan bagaimana untuk kita baik pulih 420,000 hektar (tanah) yang terbiar ini dan kita sedang bincang dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan agensi lain untuk pastikan kita dapat atasi perkara ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




