Rio de Janeiro: Bekas bintang Brazil dan Inter Milan, Adriano, yang digelar ‘Emperor’ pada zaman kegemilangannya, secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak dalam perlawanan persaraan yang berlangsung di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, Ahad lalu.
Pada usia 42 tahun, Adriano yang pernah diramal menjadi salah seorang legenda bola sepak dunia, akhirnya tewas kepada tekanan kemasyhuran dan masalah alkohol.
Perlawanan itu menyaksikan pasukan ‘Legenda Flamengo’ meraih kemenangan 4-3 ke atas ‘Rakan Itali’, sekali gus memberi peluang kepada Adriano untuk mengucapkan selamat tinggal secara rasmi, lapan tahun selepas aksi terakhirnya dalam perlawanan kompetitif.
Turut memeriahkan acara itu adalah beberapa legenda Brazil seperti penyerang Romario dan penjaga gol Julio Cesar.
Adriano, yang beraksi 48 kali dengan skuad kebangsaan, turut membawa anaknya, Adrianinho, ke atas padang dan menjaringkan gol untuk kedua-dua pasukan.
Saat paling menyentuh hati adalah apabila skrin besar memaparkan mesej daripada mendiang ayahnya yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI), membuatkan Adriano tidak dapat menahan emosinya dan dipeluk oleh semua pemain.
Adriano, yang pernah memenangi Copa America pada 2004 dan Piala Konfederasi setahun kemudian ketika berusia 22 tahun, secara perlahan-lahan hilang daripada radar bola sepak.
Selepas menjadi pemain utama skuad Brazil di Piala Dunia 2006 di Jerman, kerjayanya mula merosot akibat masalah berat badan dan alkohol, sehingga dia kehilangan tempat dalam pasukan kebangsaan serta kelab.
Walaupun begitu, Adriano meninggalkan legasi dengan empat kejuaraan Serie A bersama Inter Milan, selain dua trofi Piala Itali.
Dia juga pernah bermain untuk Roma, Parma, dan Fiorentina sebelum mengakhiri kariernya pada 2016 bersama Miami United.
Kini menetap semula di kawasan setinggan tempat dia membesar di Rio, Adriano baru-baru ini membuka kisah peribadinya dalam laman web ‘The Players’ Tribune’.
“Awak tahu bagaimana rasanya menjadi ‘harapan’? Saya tahu. Malah, saya juga tahu bagaimana rasanya menjadi harapan yang mengecewakan. Kehilangan terbesar dalam bola sepak: Saya. Saya suka perkataan itu, ‘kehilangan’… Saya tidak mengambil dadah, seperti yang orang cuba percaya. Saya bukan penjenayah, tetapi ya, saya boleh saja jadi begitu… Saya minum setiap hari,” tulisnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




