Bomba pantau runtuhan tebing Sungai Kelantan dekat Jalan Post Office Lama

Bomba pantau runtuhan tebing Sungai Kelantan dekat Jalan Post Office Lama

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan melakukan pemantauan berkala di lokasi runtuhan tebing Sungai Kelantan berdekatan sebuah pangsapuri dan hotel di Jalan Post Office Lama di sini, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kelantan Mohd Wildan Azhari berkata, pihaknya sudah mengarahkan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu untuk membuat pemantauan kerana dikhuatiri berlaku lagi pergerakan tanah di lokasi kejadian itu.

Menurutnya, keadaan di lokasi terkawal setakat ini dan pihaknya juga sudah meletakkan pita keselamatan di sekeliling kawasan runtuhan bagi mengelakkan orang awam melintasi kawasan berisiko berkenaan.

“Kejadian yang berlaku semalam itu tidak membabitkan mangsa.

“Bagaimanapun, pihak kami sentiasa bersedia sekiranya berlaku sebarang kemungkinan dan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mendekati lokasi di sekitar runtuhan kerana bimbang masih ada pergerakan tanah,” katanya ketika dihubungi.

Tinjauan yang dilakukan di lokasi runtuhan mendapati masih ada orang awam yang meninjau keadaan runtuhan berkenaan.

Pada semalam, media melaporkan satu runtuhan sepanjang hampir 50 meter dikesan di tebing Sungai Kelantan pada tengah hari.

Runtuhan itu menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.

Sementara itu, pemilik D’ Ridel Cafe, Muhammad Adam Luqman Mazlan, 26, berkata, kejadian runtuhan yang berlaku di tebing berdekatan dengan premisnya adalah kali pertama sejak dia mula berniaga kira-kira 10 tahun lalu.

“Tidak dinafikan saya turut berasa bimbang berikutan jarak lokasi runtuhan dengan kedai makan hanya 200 meter.

“Setakat ini, tidak ada lagi arahan daripada pihak berkuasa untuk menutup kawasan sekitar yang berdekatan dengan runtuhan tebing itu,” katanya.

Menurutnya, dia berharap agar tindakan segera diambil bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian luar jangka ditambah pula pada musim tengkujuh ketika ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top