Kemalangan 5 kenderaan, 2 kelindan lori cedera tersepit

Kemalangan 5 kenderaan, 2 kelindan lori cedera tersepit

am@hmetro.com.my

Keningau: Pemandu dan penumpang lima kereta terselamat selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Kimanis, di sini, hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, hanya dua kelindan lori 6 tan mengalami kecederaan selepas tersepit di kabin lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, hasil siasatan awal, kemalangan membabitkan dua lori termasuk sebuah treler, dua pacuan empat roda dan sebuah Toyota Avanza.

Katanya, semua kenderaan bergerak dari arah Papar menghala ke Keningau melalui Jalan Kimanis.

“Apabila sampai di KM 11, lori 6 tan berkenaan dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit dan terus merempuh Toyota Fortuner.

“Akibat kejadian itu, kenderaan pacuan empat roda berkenaan terus melanggar tiga lagi kenderaan dihadapannya sehingga terbabas ke tepi jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yampil berkata, semua pemandu tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan berkenaan namun dua kelindan tersepit dalam lori.

Katanya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dibawa ke hospital menggunakan kenderaan ambulans.

“Setakat ini, tahap kecederaan masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut juga sedang dijalankan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top