firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi jaminan barisan kejurulatihan Pau Marti Vicente tidak akan ‘diganggu’ oleh pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski, yang diumumkan semalam.
Menerusi kenyataan media dikeluarkan FAM semalam, badan induk bola sepak negara itu secara rasmi melantik Cklamovski bagi menggantikan Vicente dan pengendali dari Australia itu akan memulakan tugasnya pada 1 Januari 2025 ini.
Pengumuman itu sebenarnya menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat mengenai kedudukan Vicente yang kini membimbing Harimau Malaya mengharungi saingan Piala Asean.
Secara matematik, anak buah Vicente masih berpeluang mara sehingga ke pentas final Piala Asean yang dijadual pada 2 dan 5 Januari ini, sekali gus siapakah yang akan melatih pasukan sebaik Cklamovski memulakan tugas 1 Januari depan.
Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Vicente akan tetap diberikan mandat termasuk jika layak ke final dan bukannya Cklamovski.
“Pau Marti (Vicente) diberikan tugas untuk membantu pasukan sepanjang kempen Piala Asean kali ini dan kalau kita boleh melangkah jauh, dia akan terus mengemudi pasukan sehingga habis kejohanan nanti.
“Sementara itu, jurulatih baharu (Cklamovski) ini pula diarahkan untuk membentuk pasukan baharu khusus bagi mengharungi kelayakan Piala Asia 2027 (pada Mac depan).
“Justeru, tiada isu kerana Pau Marti akan meneruskan tugas yang diberikan kepadanya dan pasti dia faham dengan situasi semasa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konami X FAM, di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, Cklamovski akan diberi ruang dan peluang untuk menentukan barisan kejurulatihan mengikut kehendaknya nanti.
“Sudah tentu kita akan berbincang dengan Cklamovski untuk menentukan barisan kejurulatihan mengikut kapasiti dan keselesaannya.
“Mengenai pembantu jurulatih tempatan, mengikut kebiasaan kita akan lantik seorang pengendali lokal kerana dia boleh membantu Cklamovski dalam memberikan input mengenai pemain dan budaya setempat dengan lebih baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




