Seludup haiwan liar RM1 bilion tahun ini

Seludup haiwan liar RM1 bilion tahun ini

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) berjaya menumpaskan pelbagai kes jenayah termasuk penyeludupan haiwan membabitkan nilai keseluruhan rampasan mencecah hampir RM1 bilion.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kejayaan itu diperoleh melalui operasi berterusan dijalankan pasukan di bawah KDNKA sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, Cawangan Perisikan Siasatan Khas (WCB) menerusi Op Bersepadu Khazanah, Op Tiris, Op Kontraban dan Op E-Waste berjaya menyelesaikan 136 kes membabitkan penahanan 387 orang serta rampasan berjumlah lebih RM434 juta.

“Cawangan ini bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan United Nation Development Programmed (UNDP) bertujuan meningkatkan kapasiti penguatkuasaan.

“Ia bagi membanteras jenayah hidupan liar dan pemuliharaan spesies haiwan ikonik khususnya Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia, Banteng di Sabah serta Orang Utan di Sarawak,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan anjuran KDNKA di Bukit Aman di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah KDNKA, Datuk Seri Azmi Abu Kassim.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut memberi impak positif menerusi pelbagai tangkapan dan rampasan dengan jumlah keberhasilan lebih RM279 juta.

Beliau berkata, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) pula menghasilkan RM37.1 juta melalui pelbagai rampasan dan tangkapan bagi 34 serbuan sepanjang tahun ini, manakala Pasukan Polis Marin (PPM) menghasilkan RM210 juta menerusi 7,103 kes jenayah di perairan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) yang dibangunkan untuk mengukur kesejahteraan rakyat dari perspektif ekonomi dan sosial mencatatkan 121.3 mata pada tahun lalu.

Katanya, ia meningkat 0.7 peratus berbanding 120.4 mata tahun sebelumnya manakala salah satu komponen dalam subkomposit sosial iaitu Indeks Keselamatan Awam didapati merosot 127.6 mata (2023) berbanding 129.3 mata (2022).

“Penurunan terbabit disebabkan oleh peningkatan bilangan kemalangan jalan raya dan kenaikan kadar jenayah,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Razarudin menyampaikan sijil penghargaan kepada 73 pegawai dan anggota yang berjaya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab serta cemerlang.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada 51 anggota PDRM yang dianugerahkan Sijil Tolak Rasuah PDRM dan SPRM yang mana 11 daripadanya adalah penerima Sijil Tolak Rasuah SPRM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top