am@hmetro.com.my
Muar: “Alhamdulillah,” luah Kapten (B) Najib Lep, 60, selepas Amerika Syarikat (AS) menyerahkan adiknya, Mohammed Nazir, yang ditahan di Kem Guantanamo di Cuba sejak 18 tahun lalu, kepada Kerajaan Malaysia, hari ini.
Najib ketika dihubungi seolah-olah tidak percaya dengan berita yang disampaikan sekali gus menamatkan penantian keluarganya selama lebih 20 tahun sejak 2003.
“Selama ini, keluarga memang mengharapkan dia kembali ke tanah air selepas sekian lama ditahan di sana (Cuba).
“Kami menunggunya di sini, kami sentiasa berdoa supaya dia dibebaskan,” katanya, hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan hari ini memberitahu AS menyerahkan dua rakyat Malaysia termasuk Mohammed Nazir yang ditahan di Kem Guantanamo di Cuba.
Seorang lagi yang ditahan dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia ialah Mohammed Farik Amin.
Kedua-dua mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS sebelum dipindahkan ke kem tahanan itu pada 2006.
Mohammed Nazir dan Mohammed Farik yang berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003.
Kedua-dua mereka kemudian dijatuhi hukuman penjara 23 tahun dan boleh dibebaskan menjelang 2029.
© New Straits Times Press (M) Bhd



