am@hmetro.com.my
Batu Pahat: “Tak dapat rayalah lepas ni,” itu reaksi remaja lelaki apabila Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah memiliki motosikal curi, Isnin lalu.
Mohamad Aqmal Helizam, 19, yang sedang menjalani perintah bon berkelakuan baik dengan cagaran RM2,000 selama dua tahun bermula awal bulan lalu, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya menyimpan harta curi berupa motosikal Yamaha LC135 milik lelaki berusia 24 tahun di Taman Pantai, di sini, 2.30 pagi, 16 Disember lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pengadu pada 15 Disember berkenaan motosikal miliknya hilang.
Bertindak atas laporan, polis menemui motosikal itu bersama tertuduh di hadapan sebuah dewan serbaguna lalu menahan remaja itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam Kamarulariffin Nordin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Mahkamah sama sebelum ini memerintahkan tertuduh menjalani perintah bon berkelakukan baik selepas mengaku bersalah memiliki motosikal curi milik lelaki warga emas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




