Isu rumah balu 'perwira negara': Tiada rumah dirobohkan – Polis

Isu rumah balu 'perwira negara': Tiada rumah dirobohkan – Polis

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Polis menafikan rumah balu perwira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu pada 2013 lalu, dirobohkan pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, rumah di Pulau Bugaya, Semporna yang didatangi pihak berkuasa itu bukan rumah Sitti Bandorah Mahalil, balu kepada Allahyarham Sarjan Abd Azis Sarikon.

Sebaliknya, beliau berkata, rumah yang dimaksudkan Sitti itu adalah milik bapanya yang didiami keluarga adiknya.

“Isu ini tular sejak semalam dan polis membuat penelitian terhadap isu ini mendapati bahawa isu berkenaan adalah tidak benar, balu terbabit tidak tinggal di rumah berkenaan.

“Rumah itu adalah milik ayahnya yang dibina pada 1980-an dan yang tinggal di rumah itu adalah adik dia bersama dengan anak adiknya. Penama (balu) ini sendiri tinggal di daratan dan mempunyai beberapa rumah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jautah berkata, pihak berkuasa juga tidak pernah mengeluarkan apa-apa ugutan ke atas individu berkenaan.

“Paling penting rumah ini tidak diroboh dan yang diroboh adalah beberapa rumah kosong milik pendatang asing tanpa izin (Pati) dan kita menekankan daripada awal dalam isu di Kampung Bugaya ini, notis dikeluarkan oleh Taman-Taman Sabah (TTS).

“Dari awal mana-mana rumah milik warga tempatan ketika operasi tidak akan dirobohkan dan 3,257 rumah diroboh dalam Op Koloni Setinggan sehingga ini tidak ada satu pun rumah warga Malaysia yang dirobohkan,” katanya.

Beliau memaklumkan, Sitti Bandorah mempunyai seorang anak pegawai kanan polis dan ada pihak tertentu yang cuba mengeksplotasi isu ini.

“Hasil maklum balas daripada Sitti Bandorah menyatakan dia kadangkala datang ke tempat itu untuk melawat keluarganya, dia turut mendakwa berlaku sedikit salah faham ketika proses ini berlangsung.

“Polis akan meneruskan siasatan dan saya harap pihak awam tidak menyalahkan pihak berkuasa dalam melaksanakan operasi untuk mengatasi masalah kebanjiran Pati serta koloni setinggan di Sabah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top