Kenali perawakan Rasulullah

Kenali perawakan Rasulullah

SABAN tahun majlis sambutan maulidur rasul biasanya akan disambut dengan begitu meriah dengan selawat ke atas nabi secara beramai-ramai, majlis berzanji, mengadakan jamuan makan dan sebagainya. Namun, secara sedar atau pun tidak, di sebalik kehangatan sambutan tersebut, berapa ramaikah yang benar-benar mengenali Rasulullah? Berapa ramaikah juga yang memahami isi kandungan berzanji yang dialunkan dengan begitu merdu yang menceritakan tentang kehidupan nabi? Sedangkan umat Islam mengetahui bahawa dengan kelahiran Rasulullah, ia membawa jutaan rahmat kepada umat manusia keseluruhannya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran Surah al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud: “Tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam.”

Sesuatu yang tidak diragukan lagi bahawa Rasulullah SAW telah diutus untuk memimpin ummah. Baginda merupakan contoh terbaik yang bersifat universal iaitu keseluruhan hidup Junjungan dapat dijadikan ikutan dan contoh di sepanjang zaman. Allah SWT berfirman dalam al-Quran, Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu.” Rasulullah SAW adalah pemimpin ummah yang boleh diikuti dan dicontohi dalam segenap kehidupan, peribadi yang luhur dan murni, seorang manusia yang sentiasa menyeru kepada jalan Allah dengan penuh hikmah, seorang ketua negara yang mengemudi bahtera pemerintahan dengan amanah dan cekap, seorang suami mithali, seorang bapa yang bijak menyempurnakan tanggungjawab terhadap anak, seorang sahabat yang setia, seorang jiran yang memahami jirannya dan lain-lain lagi. Jelasnya, kepemimpinan Rasulullah terserlah dalam seluruh kehidupan baginda.

Di samping memiliki akhlak dan keperibadian yang tinggi, Rasulullah SAW juga merupakan insan yang mempunyai perawakan yang menarik dan cantik. Walaupun rupa paras bukan menjadi tuntutan untuk diikuti dan diteladani kerana ia merupakan anugerah Allah SWT secara khusus kepada setiap makhluk-Nya, namun apabila dapat mengenali perawakan seseorang, maka akan bertambah rasa kasih dan dekat padanya. Justeru, pepatah Melayu telah menyatakan ‘Tak kenal, maka tak cinta.’

Mengenali perawakan Rasulullah juga akan menghindarkan diri daripada tertipu dengan mainan dan tipu daya syaitan. Pernahkah kita mendengar ada orang berkata bahawa dia bermimpi bertemu Rasulullah? Memang bermimpi bertemu dengan Rasulullah merupakan sesuatu yang istimewa. Menurut para ulama, terdapat tiga kategori mimpi.

Mimpi baik daripada Allah, mimpi buruk daripada syaitan, dan mimpi yang terjadi hasil fikiran yang menghantui diri mengenai sesuatu perkara.

Bermimpi bertemu Rasulullah termasuk dalam kategori yang pertama iaitu mimpi baik daripada Allah. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: “Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka sesungguhnya benarlah dia melihat diriku kerana syaitan tidak dapat menyerupaiku.”

Namun, sesuatu yang harus diberi perhatian ialah walaupun syaitan tidak boleh menyerupai Rasulullah, tetapi ia boleh menyerupai manusia lain seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya dan mendakwa sebagai Rasulullah. Justeru, untuk mengatasi masalah ditipu dan diperdaya syaitan, umat Islam perlu mengenali perawakan dan rupa bentuk Rasulullah SAW.

Imam Abu ‘Isa Muhammad Ibn Isa al-Tirmidhi telah menyatakan bahawa adalah di luar kemampuan manusia untuk melukis gambaran mengenai rupa bentuk Rasulullah SAW. Namun begitu, para sahabat yang amat kasih dan cinta kepada Rasulullah telah sedaya upaya menggambarkan kepada kita tentang perawakan Rasulullah SAW. Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa keseluruhan kekacakan Rasulullah tidaklah dizahirkan, sekiranya dizahirkan manusia tidak dapat menoleh sedikit pandangan pun ke arah baginda.

Telah dinyatakan dalam kitab al-Syifa Bita’rif Huquq al-Mustafa oleh al-Qadi ‘Iyad al-Andalusi bahawa terdapat hadis-hadis dan athar-athar sahih yang banyak didatangkan oleh para sahabat tentang perawakan nabi SAW. Antara sahabat yang menceritakan tentang rupa bentuk Rasulullah ialah Ali Bin Abu Talib, Anas Bin Malik, Abu Hurairah, al-Barra’ Bin ‘Azib, Aisyah Ummul mukminin, Ibnu Abbas, Abu Tufail dan lain-lain. Antara gambaran Rasulullah yang dinyatakan oleh para sahabat ialah kulitnya putih, mata cantik, rambut lebat, wajah bersinar, bulu kening halus memanjang hingga ke penghujung mata, hidung mancung, janggut tebal hingga ke dada, dada yang bidang, sederhana tinggi iaitu tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah, apabila bercakap seolah-olah cahaya keluar dari gigi baginda dan lain-lain lagi. (Rujuk kitab al-Syifa oleh al-Qadi ‘Iyad, 1986, cetakan Dar al-Faiha’, Amman, juzuk 1 halaman 147-149).

Al-Barra’ Bin ‘Azib berkata bahawa beliau tidak pernah melihat sesiapa yang terlebih tampan daripada Rasulullah SAW. Jabir meriwayatkan bahawa pada suatu ketika semasa malam bulan purnama terang-benderang, beliau melihat kepada wajah Rasulullah dan juga melihat ke arah bulan, dan mengikut pandangannya wajah Rasulullah terlebih cantik dan berseri daripada bulan dan cahayanya.

Anas pernah berkata bahawa: “Rasulullah SAW tidaklah tersangat tinggi dan tidak juga tersangat rendah, dan warna wajah Rasulullah tidaklah terlalu putih seumpama air kapur dan tidak pula pucat pudar (warna kulit putih kemerahan), rambut Rasulullah tidaklah terlalu lurus dan tidak pula terlalu kerinting (rambut ikal mayang)…dan uban yang ada pada rambut dan janggutnya tidak melebihi dua puluh helai.”

Manakala Saidina Ali pula ketika menceritakan perawakan Rasulullah SAW, beliau berkata: “Rasulullah tidak tersangat tinggi dan tidak juga tersangat rendah tetapi memiliki tubuh sederhana, rambut baginda tidak terlampau lurus dan tidak juga terlampau berketak-ketak tetapi berkeadaan berombak (ikal). Badannya tidak gemuk. Wajahnya tidak bulat tetapi bujur. Warna wajah Rasulullah putih dengan sedikit kemerah-merahan. Matanya tersangat hitam dan bulu keningnya panjang. Tulang-tulang sendi di badannya tebal (besar), (pergelangan tangan, siku, lutut). Bahagian di antara kedua-dua bahu dipenuhi daging-daging (berisi). Badan Rasulullah tidak berbulu di seluruh tubuh badan, walau bagaimanapun terdapat suatu garisan bulu daripada dada terus ke pusat. Tangannya yang mulia penuh dengan isi daging. Apabila Rasulullah berjalan, baginda akan melangkah dengan kukuhnya, seolah-olah baginda berjalan menuruni tanah curam, iaitu menuruni dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Apabila baginda menumpukan perhatian kepada seseorang, baginda melakukannya dengan seluruh jasadnya (memusingkan seluruh tubuh dan menoleh mukanya). Di antara dua bahunya terdapat tanda kenabian. Pangkat kenabian berakhir padanya. Baginda terlebih dermawan daripada segala makhluk dan paling dipercayai percakapannya dan terlebih lembut hatinya daripada semua manusia. Baginda adalah daripada golongan keluarga yang paling mulia.” (Sila rujuk kitab Insan Teladan Sepanjang Zaman oleh Mufti Ahmed Ibrahim Bemat, 1996, cetakan Dar al-Nu’man, halaman 10-11).

Kitab sirah juga menggambarkan Rasulullah sebagai insan yang paras mukanya manis dan indah, tidak terlampau tinggi, juga tidak pendek, dengan bentuk kepala yang besar, berambut hitam antara keriting dan lurus. Dahinya lebar dan rata di atas sepasang alis yang lengkung lebat dan bertaut, sepasang matanya lebar dan hitam, di tepi-tepi putih matanya agak kemerah-merahan, tampak lebih menarik dan kuat, pandangan matanya tajam, dengan bulu mata hitam pekat. Hidungnya halus dan merata dengan barisan gigi yang bercelah-celah. Jambangnya lebar sekali, berleher panjang dan indah. Dadanya lebar dengan kedua bahu yang bidang. Warna kulitnya terang dan jernih dengan kedua telapak tangan dan kakinya yang tebal. Bila berjalan badannya agak condong ke depan, melangkah cepat-cepat dan pasti. Air mukanya membayangkan renungan dan penuh fikiran, pandangan mata menunjukkan kewibawaan, membuat orang patuh kepadanya.

Penulis Mufti Pulau Pinang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top