Takaful Malaysia sumbang RM500,000 untuk Misi Bantuan Banjir Jakim

Takaful Malaysia sumbang RM500,000 untuk Misi Bantuan Banjir Jakim

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pengendali takaful pertama Malaysia, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) menyalurkan bantuan kewangan bernilai RM500,000 untuk mangsa banjir seluruh negara.

Bantuan itu disalurkan untuk Program Skuad Musa’adah Al-Falah bersama Mangsa Banjir Seluruh Negara 2024 menerusi inisiatif Misi Bantuan Banjir yang diselaraskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sumbangan disalurkan melalui Tabung Musa’adah ini adalah sebahagian daripada usaha Takaful Malaysia memberi bantuan segera kepada komuniti terjejas akibat bencana banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, bantuan kewangan itu sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat mereka, sejajar dengan usaha dan komitmen Takaful Malaysia terhadap pembangunan dan kesejahteraan komuniti.

“Kami komited dalam memupuk tanggungjawab kolektif ke arah membantu golongan kurang bernasib baik dan membina masyarakat yang prihatin.

“Sumbangan ini juga adalah tanda sokongan kami terhadap inisiatif kebajikan yang dijalankan Jakim melalui Tabung Musa’adah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cek replika sumbangan Takaful Malaysia bernilai RM500,000 itu diserahkan Nor Azman kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Nor Azman berharap, bantuan kewangan itu dapat meringankan beban mangsa banjir terutama golongan kurang berkemampuan dan membantu mereka meneruskan kehidupan harian selepas bencana.

“Sumbangan yang diberikan ini dapat digunakan sama ada untuk memberi bantuan kewangan harian, menyokong pendidikan dan menyediakan rawatan kesihatan selain diperluas untuk membaik pulih kediaman serta penyediaan alat sokongan untuk individu berkeperluan khas.

“Besar harapan kami agar dapat meringankan beban mangsa banjir dan membantu mereka bangkit semula selepas bencana ini,” katanya.

Katanya, Takaful Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong usaha kemanusiaan dan inisiatif pembangunan sosial melalui program tanggungjawab sosial korporat.

“Kami percaya, sokongan dan kerjasama antara agensi kerajaan, organisasi korporat, dan masyarakat amat penting dalam usaha membina komuniti yang berdaya tahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top