am@hmetro.com.my
Shah Alam: Bimbang terlepas penerbangan ke China. Itulah alasan diberikan pemandu kenderaan Kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Corolla Cross yang bertindak menghalang ambulans membawa pesakit ke Hospital Banting, malam Rabu lalu.
Video kejadian berdurasi 58 saat itu bagaimanapun tular di media sosial dan mendapat kecaman ramai.
Video itu memaparkan pergerakan ambulans dihalang SUV di Jalan Klang-Banting dari arah Jenjarom menghala ke Banting.
SUV itu tetap berada di lorong kanan jalan walaupun pemandu ambulans beberapa kali membunyikan hon dan menggunakan pembesar suara meminta diberi laluan.
Pada paparan video itu, kelihatan lampu brek SUV itu menyala setiap kali ambulans membunyikan hon.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, susulan video berkenaan, pihak polis memanggil pemilik akaun Facebook yang juga pemandu ambulans, seorang lelaki tempatan yang berusia 30-an untuk hadir memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 9.45 malam, 18 Disember lalu, apabila ambulans terbabit sedang dipandu menuju ke Hospital Banting,” katanya.
Mohd Akmalrizal berkata, pihaknya berjaya mengesan SUV itu sebelum pemandunya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan lanjut.
“Siasatan mendapati pemilik kenderaan adalah bapa kepada pemandu SUV itu dan kedua-dua mereka ditahan pada jam 11.30 malam kelmarin.
“Siasatan awal mendapati, pemandu SUV berumur 20 tahun itu mendakwa sedang mengejar masa menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana bimbang terlepas masa penerbangan ke China.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor S Taneswaran (Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 012-6708561 atau 03-31872222.
© New Straits Times Press (M) Bhd




