Pawi idam jaringan memukau sekali lagi

Pawi idam jaringan memukau sekali lagi

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Selepas meledak gol ‘memukau’ ketika aksi suku akhir pertama Piala Malaysia berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada minggu lalu, kapten Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid idam mahu mengulangi jaringan itu lagi.

TFC yang kini berkelebihan dengan dua jaringan hasil kemenangan 2-0 pada aksi suku akhir pertama bakal menanti kunjungan skuad Hobin Jang Hobin itu pada aksi kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada malam esok dalam misi layak ke peringkat separuh akhir.

Pemain kelahiran Dungun itu berkata, dia berazam untuk menambah koleksi jaringan menarik itu sebagai tatapan buat dirinya, keluarga dan peminat setia pada suatu hari selepas menamatkan kariernya nanti.

Bagaimanapun jelas pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, jaringan sedemikian bukan mudah untuk direalisasikan terutama dirinya sudah pasti sentiasa dikawal ketat pemain lawan sepanjang permainan.

“Menjaringkan gol adalah idaman semua pemain, tapi lebih puas dapat menyumbat gol cantik sebagaimana ketika berdepan NSFC pada minggu lalu.

“Jika ada rezeki dan peluang, saya berazam mahu ulangi jaringan cantik itu lagi selepas ini, ini kerana sebagai pemain sukar untuk menjaringkan gol sedemikian terutama tiga pertahanan lawan cuba halang saya ketika itu.

“Saya harapkan pertemuan suku akhir kedua nanti, pasukan kami dapat lakar kemenangan sebab dalam bola sepak pelbagai kemungkinan boleh berlaku, jadi kita tidak boleh leka sebaliknya beraksi bagaikan 0-0.

Ketika aksi suku akhir pertama minggu lalu, Pawi berjaya menjaringkan gol pertama pasukannya pada minit ke-19, satu lagi jaringan dihasilkan pemain import, Nelson Bonilla menerusi sepakan penalti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top