Scottburgh: Buaya tertua dunia, Henry menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-124 Isnin lalu di Pusat Pemuliharaan Crocworld di Afrika Selatan.
Buaya Nil pemakan manusia ini tinggal di tempat perlindungan itu sejak 1985 dan menjadi bapa kepada 10,000 anak, menurut Live Science.
Perjalanannya bermula di Delta Okavango di Botswana pada 1903.
Hari lahirnya disambut pada setiap 16 Disember, walaupun tarikh lahirnya yang tepat masih tidak diketahui.
Kakitangan Crocworld menganggarkan Henry dilahirkan sekitar tahun 1900.
Menurut Live Science, kehidupan Henry dalam pusat itu mungkin membantunya mencapai usia tua berikutan ia akan dipastikan cukup makan dan selamat daripada kemalangan dan penyakit.
Ahli biologi yang mengkaji penuaan haiwan di Universiti Alabama, Steven Austad berkata, jelas bahawa haiwan itu sudah berusia.
“Umur 124 tahun bukanlah sesuatu yang mustahil untuk seekor buaya.
“Haiwan yang atas sebab apa pun, kebetulan hidup dalam persekitaran yang selamat, cenderung untuk hidup lebih lama,” katanya kepada Live Science.
Menurut pakar, ciri biologi lain juga boleh menyumbang kepada umur panjang Henry.
Mereka percaya, protein yang terdapat dalam darah buaya Nil mungkin mempunyai sifat antibakteria dan membantu haiwan itu melawan jangkitan dan penyakit.
Sesetengah penyelidik mendakwa, mikrobiom usus haiwan itu boleh menyumbang kepada sistem imun teguh.
Henry terkenal dengan giginya yang menakutkan seperti taring dan rangka besar, dipercayai sebagai buaya terbesar masih hidup.
Ia mempunyai berat 700 kilogram (kg) dan berukuran lima meter.
Buaya Nil ditemui di 26 negara di seluruh Afrika Sub-Sahara.
Pemangsa yang terkenal dengan sifat ganasnya, bertanggungjawab atas ratusan kematian di rantau ini setiap tahun.
20hmhenry
Henry: FOTO Facebook Pusat Pemuliharaan Crocworld
TAMAT
© New Straits Times Press (M) Bhd




