Azizulhasni mahu jumpa Hannah dahulu

Azizulhasni mahu jumpa Hannah dahulu

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akan mengadakan pertemuan empat mata bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum memberi kata putus berkenaan masa depannya.

Jelasnya, dia menyedari Majlis Sukan Negara (MSN) memberi tempoh untuk membuat pilihan sama ada ingin menyertai Program Podium 2025 atau sebalik sebelum 31 Disember ini.

Namun begitu, The Pocket Rocketman itu tidak mahu terburu-buru dalam memberi sebarang jawapan sebaliknya lebih memberi tumpuan untuk mengerjakan umrah terlebih dahulu.

“Sepatutnya saya maklum kepada MSN pada penghujung tahun ini. Namun, saya jangkakan untuk bertemu YB Hannah terlebih dahulu untuk perbincangan akhir.

“Saya masih menunggu masa untuk berjumpa beliau terlebih dahulu. Kalau sempat sebelum penghujung tahun. Seandainya tidak berkesempatan, selepas saya pulang umrah,” katanya.

Untuk makluman, Azizulhasni akan berangkat ke Tanah Suci itu untuk beribadat pada 8 hingga 20 Januari depan.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) diberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk memberi jawapan sama ada Azizulhasni bersetuju kekal berada dalam Program Podium pada tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) MSN, Jefri Ngadirin berkata, ketika ini PKBM perlu berhubung dengan Azizulhasni terlebih dahulu untuk mendapat kata putus daripada pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top