syafil.syazwan@hmetro.com.my
KEMENANGAN di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik tidak hanya sekadar menggenggam anugerah, tetapi juga membawa semangat kepada Elizabeth Tan.
Kini, dia yang mesra disapa dengan panggilan Lizzy ingin terus mengejar cita-citanya dalam lakonan dan mencuba nasib sebagai pelakon utama.
“Apa lagi saya nak? Mungkin sekarang, saya memegang watak pembantu. Tapi, satu hari nanti saya harap, saya dapat tawaran untuk melakonkan watak utama.
“Mungkin sebagai watak yang ada pelbagai personaliti atau lebih mencabar. Jadi, kalau saya menang pun kelak, saya tahu saya memang layak,” katanya.
Berkongsi mengenai kemenangannya baru-baru ini, Lizzy tidak pernah menjangkakannya lebih-lebih lagi apabila melihat calon-calon adalah dalam kalangan pelakon berpengalaman.
“Saya sangat terkejut sebab tak menjangkakan akan tercalon pun. Jadi, apabila tercalon, rasa macam dah cukup gembira dan rasa macam dah satu kemenangan. Apabila betul-betul menang, saya terkejut dan bersyukur atas kemenangan ini.
“Melihat lakonan saya sendiri, saya rasa ada banyak lagi untuk saya belajar. Dalam kategori saya itu ada nama-nama besar yang sudah lama dalam industri dan saya perlu belajar banyak daripada mereka.
“Saya rasa macam, siapalah saya. Namun, penghargaan ini membuatkan saya yakin bahawa saya bukan sahaja seorang penyanyi, tetapi juga pelakon,” katanya.
Menurut pelakon berusia 31 tahun ini, dia juga akan terus berusaha mendalami ilmu lakonan dengan menyertai kelas lakonan.
“Kalau saya dapat tawaran filem selepas ini, saya akan sertai kelas lakonan sebab saya masih nak belajar. Saya tak lihat kemenangan ini seperti, ‘saya dah hebat’. Saya bukan begitu.
“Sebenarnya, saya rasa saya memang ada dua sisi. Di media sosial dan depan kamera, anda nampak saya sebagai seorang yang lemah lembut. Tapi, di rumah, saya macam ‘jantan’ juga.
“Saya secara peribadi memang suka berlakon. Selalunya, kalau saya baca skrip dan sukakannya, saya akan terima tawaran itu,” katanya.
Tahun 2024 sepatutnya menjadi tahun di mana dia menumpukan kepada muzik, namun siapa sangka, rezekinya lebih luas berbanding apa yang dirancang.
“Sepanjang 2024 saya tak berlakon pun sebenarnya. Saya ada pergi menjalani uji bakat, tapi tak ada rezeki. Kalau ada rezeki tahun depan, saya ada tawaran lagi.
“Tahun ini, saya sepatutnya fokus kepada muzik saya sebab dah ada tiga lagu yang saya dah rakamkan dan siapkan. Video muzik pun ada satu lagu yang dah disiapkan dan boleh dilancarkan bila-bila masa.
“Tapi, sebab ada masalah peribadi sikit, saya tunda dulu. Harapnya, Februari tahun depan saya dapat lancarkan lagu berjudul Rezeki itu,” katanya.
Berkongsi mengenai kehidupan peribadinya, Lizzy kini terpaksa berjauhan dengan suami, Dr Siew Jim yang kini dipindahkan ke Perak atas urusan kerja.
“Suami saya sekarang berpindah ke Perak untuk dua tahun. Jadi, ia hubungan jarak jauh lagi dan saya berulang alik ke Perak menaiki kereta api.
“Saya rasa, kami berdua berseronok sebab ada ruang untuk rindu. Rasa macam zaman bercinta semula. Rasa mencabar, tapi menyeronokkan. Saya ambil proses ini sebagai proses baharu dalam kehidupan saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



