Kudus selamatkan maruah West Ham

Kudus selamatkan maruah West Ham

London: Mohammed Kudus menjadi wira West Ham United selepas tandukannya di separuh masa kedua memastikan keputusan seri 1-1 menentang Brighton & Hove Albion dalam aksi hambar Liga Perdana Inggeris (EPL).

Keputusan itu meletakkan West Ham di tangga ke-14 dengan 20 mata selepas 17 perlawanan, manakala Brighton berada di tangga kesembilan dengan 25 mata.

Kedua-dua pasukan jelas bergelut dengan prestasi, apabila Brighton tanpa kemenangan dalam lima perlawanan liga terakhir, sementara West Ham hanya menang sekali dalam lima aksi terakhir.

Mats Wieffer membuka jaringan untuk Brighton pada minit ke-51, gol pertamanya di EPL, selepas penjaga gol Lukasz Fabianski gagal menangani cabaran dari Lewis Dunk.

Tandukan Dunk jatuh tepat kepada Wieffer, yang menyempurnakan dengan sentuhan pertamanya.

Bagaimanapun, kegembiraan Brighton terpaksa ditangguhkan seketika apabila Video Bantuan Pengadil (VAR) menjalankan semakan panjang untuk memastikan tiada kesalahan ofsaid atau kekasaran sebelum gol itu disahkan.

West Ham, yang kini menghadapi tekanan ke atas pengurus Julen Lopetegui, mencatatkan rekod kurang enak apabila melepaskan 74 gol dalam saingan liga sepanjang tahun ini – jumlah tertinggi sejak 1967 (85 gol).

Namun, kelebihan Brighton hanya bertahan selama tujuh minit.

Penjaga gol Brighton, Bart Verbruggen, berjaya menepis rembatan Jarrod Bowen, tetapi Kudus yang tiba tepat pada masanya menanduk masuk bola muntah untuk gol ketiganya musim ini.

Kudus, yang terkenal dengan sambutan gol menggunakan bangku, tampil dengan gaya baharu.

Kali ini, dia membawa bangku kayu berbentuk gajah ukiran dari Ghana dan duduk bersama rakan sepasukannya, Crysencio Summerville.

“Ia bangku istimewa, bangku dari Ghana,” kata Kudus.

“Saya rasa bagus untuk berkongsi sedikit tentang kehidupan dari tempat asal saya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top