am@hmetro.com.my
Pasir Salak: Anggota polis yang dihanyutkan arus deras ketika mandi di tali air di Changkat Lada, Kampung Gajah, di sini, hari ini, sempat mengadakan pertemuan ‘reunion’ bersama rakan sekolahnya.
Difahamkan, anggota berusia 39 tahun berpangkat koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah itu bertemu dengan beberapa rakan alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changkat Lada.
Ketika kejadian, lelaki itu dikatakan keletihan dan cuba berenang ke tebing namun dihanyutkan arus.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dan Teluk Intan dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 2.47 petang.
“Anggota bomba sudah membuat pencarian di sekitar tebing, manakala pasukan penyelamat di air (PPDA) membuat selaman di lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Bagaimanapun, sehingga 7.30 malam, tiada tanda-tanda mangsa dijumpai.
“Pemantauan secara pencarian di permukaan air akan dijalankan pada malam ini dan operasi penuh akan disambung pada esok dan dibantu unit anjing pengesan K9,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

