Meterai perjanjian peroleh tanah seluas 197 hektar

Meterai perjanjian  peroleh  tanah seluas 197 hektar

zahrin@mediaprima.com.my

KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH) memeterai perjanjian dengan Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) dan Bandar Malaysia Land Sdn Bhd bagi memperoleh tanah seluas 197 hektar di bekas tapak Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Jalan Sungai Besi.

KLCCH dalam satu kenyataan ringkas berkata, kesemua pihak menandatangani Perjanjian Jual Beli Tanah (SPA) pada 4 Oktober 2024.

Katanya, KLCCH akan melaksanakan pembangunan berdasarkan daya maju komersial dalam tempoh jangka panjang.

“Pembangunan ini dirancang sebagai hab perniagaan antarabangsa dan bandar yang mesra komuniti serta inklusif.

“Dengan dua pembangunan ikonik Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Putrajaya, KLCCH telah membuktikan visi strategik dalam pembangunan bandar berskala besar, sekali gus menetapkan standard dalam perancangan induk dan kelestarian,” katanya.

KLCCH adalah syarikat induk kepada KLCCP Stapled Group yang merangkumi KLCC Real Estate Investment Trust (KLCC REIT) dan KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP).

Ia adalah sebuah syarikat pelaburan dan pegangan hartanah dalam Kumpulan KLCC, yang membangun dan menguruskan hartanah di KLCC dan Putrajaya.

KLCCH ialah pemaju utama tanah seluas 100 ekar di hab komersial Kuala Lumpur yang menempatkan Menara Berkembar Petronas setinggi 452 meter, iaitu menara berkembar tertinggi di dunia, serta bangunan bertaraf antarabangsa yang ikonik.

Malah, KLCCH juga menguruskan Taman KLCC, sebuah taman awam seluas 50 ekar serta mercu tanda yang mengintegrasikan menara pejabat, kompleks runcit, hotel, kediaman, hiburan, dan kemudahan rekreasi dalam pembangunan KLCC.

Sebagai cabang hartanah petronas, KLCCH diberi kepercayaan untuk membangunkan KLCC dan Putrajaya sepenuhnya menjadi pembangunan moden, berfungsi, dan berdaya saing.

Ditubuhkan pada 30 Januari 1989, KLCCH dan anak syarikat berkaitannya, yang merangkumi lebih daripada 40 syarikat, terbabit dalam pelaburan dan pembangunan hartanah, pengurusan aset, pengurusan projek, serta pembekalan air sejuk dan elektrik.

Terdahulu, KLCCP dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia menafikan laporan mengenai pengambilalihan Bandar Malaysia daripada Kementerian Kewangan dalam urus niaga bernilai RM10 bilion.

Syarikat berkenaan menjelaskan pihaknya tidak terbabit dalam transaksi terbabit, sekali gus menolak dakwaan bahawa ia adalah pembeli tanah seluas 486 ekar di Bandar Malaysia.

“KLCCP ingin memaklumkan bahawa ia bukan pihak dalam urus niaga terbabit dan bukan pembeli seperti yang dilaporkan,” katanya.

Sebuah akhbar perniagaan sebelum ini melaporkan bahawa KLCCP sedang dalam perbincangan untuk memperoleh Bandar Malaysia.

Laporan itu berkata, berdasarkan sumber nilai perjanjian itu dianggarkan sebanyak RM12 bilion, dengan KLCCP dijangka membayar RM6 bilion sebagai pendahuluan manakala baki akan dibayar mengikut keperluan.

Perjanjian itu, katanya akan membolehkan kerajaan mencairkan aset dan pada masa yang sama melunaskan hutang Bandar Malaysia, yang kebanyakannya membabitkan dana kerajaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top