Dividen ASB 5.75 cerminan ekonomi yang lebih baik – Penganalisis

Dividen ASB 5.75 cerminan ekonomi yang lebih baik – Penganalisis

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dividen 5.75 sen seunit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi 2024 mencerminkan peningkatan ekonomi negara berbanding tahun lalu, yang menyaksikan dana amanah itu memperoleh pulangan pelaburan lebih baik, kata penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.

Beliau berkata, pelaburan ASB juga tertumpu sebahagian besarnya kepada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang menunjukkan prestasi memberangsangkan pada 2024.

Katanya, peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang lebih baik iaitu berkembang untuk tiga suku pertama tahun 2024, pada purata 5.2 peratus, dan dalam jangkauan mencapai unjuran kerajaan bagi 2024 iaitu antara 4.8 ke 5.3 peratus juga mendorong kenaikan dividen ASB.

“Malah secara purata indeks petunjuk Bursa Malaysia meningkat dari hanya 1,454 mata setahun lalu kepada 1,609 mata sekarang ini memberikan indikasi prestasi semasa pasaran modal berada dalam situasi yang lebih baik.

“Ini termasuklah pengukuhan nilai mata wang ringgit yang mengarah kepada kestabilan ekonomi negara,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, bagaimanapun, keterbukaan ekonomi negara termasuklah pasaran modal, mudah dipengaruhi oleh faktor global seperti krisis geopolitik dan tindakan negara maju dalam menguruskan dasar monetari masing-masing.

Beliau berkata, perang Russia-Ukraine dan Israel di Gaza masih berterusan dan mempunyai potensi berskala besar lalu memberikan kesan kepada ekonomi dunia dan Malaysia.

“Manakala arah kepimpinan Presiden Trump akan diketahui pada Januari nanti akan menentukan dasar politik dan ekonomi Amerika Syarikat (AS) adakah akan mengalami perubahan yang drastik ataupun tidak.

“Begitu juga dengan prestasi ekonomi negara Eropah dan kuasa ekonomi kedua besar dunia iaitu China yang juga rakan dagang terbesar Malaysia,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, sama ada negara terbabit akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan atau lebih baik untuk 2025, termasuk mata wang ringgit dan pasaran modal negara, sudah pasti ia akan memberikan reaksi secara langsung kepada faktor berkenaan.

Sementara itu, ditanya mengenai adakah dividen ASB akan mengulangi zaman kegemilangannya dengan memberi dividen lebih 10 peratus, beliau berkata, jangkaan itu agak sukar diunjurkan kerana nilai aset di bawah pengurusan (AUM) juga sudah lebih besar dari dahulu, yang menyebabkan hubungkait angka peratusan menjadi kecil.

“Selain itu, cabaran lebih ampuh daripada faktor kewangan global begitu mudah mempengaruhi ekonomi dan pasaran kewangan negara dalam tempoh yang pantas berbanding dengan waktu dahulu.

“Perkembangan teknologi dan pengurusan data secara ‘real-time’ antara faktor yang mempengaruhi prestasi pengurusan pelaburan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB),” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top