am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pemain dram kumpulan oi!, A.C.A.B iaitu Zul yang dirawat di Wad Pemulihan Koronari (CRW) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika konsert kumpulan itu, sudah dibenarkan untuk pulang ke rumah esok.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram (IG) kumpulan itu, keadaan Zul dilaporkan sudah semakin bertambah baik ketika ini.
“Alhamdulillah, keadaan Zul, drummer Acab semakin bertambah baik sekarang ini.
“Terima kasih buat semua yang telah membantu menziarahi dan bertanyakan khabar. Semoga Allah membalas jasa baik kalian.
“Insya-Allah, Zul sudah boleh pulang ke rumah esok dan dia perlu banyak berehat buat masa ini,” katanya.
Pada masa sama, kumpulan itu turut memohon semua pengikut untuk mendoakan kesembuhan Zul.
“Marilah kita sama-sama doakan kesembuhan buat Zul agar dia dapat kembali sihat seperti sedia kala,” katanya.
Terdahulu, Zul yang sedang bermain dram tiba-tiba rebah selepas kira-kira 30 minit A.C.A.B memulakan persembahan sempena Konsert A.C.A.B 30th Anniversary di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd