Duterte tolak suntikan vaksin Covid-19

Duterte tolak suntikan vaksin Covid-19
Walaupun ramai pemimpin dunia menerima suntikan secara terbuka untuk menggalakkan orang ramai menerima vaksin, Presiden Filipina Rodrigo Duterte menolak untuk berbuat demikian. (Gambar AP)

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte memaklumkan beliau akan “melepaskan” peluangnya untuk mendapatkan vaksin Covid-19, dengan alasan warga emas sepertinya tidak patut mendapat keutamaan.

Lebih daripada sejuta rakyat Filipina telah menerima suntikan vaksin pertama sejak awal Mac, sebahagian kecil daripada jumlah yang diperlukan bagi mencapai imuniti kelompok di negara yang mempunyai 110 juta penduduk itu.

Kemajuan proses vaksinasi yang perlahan dan bekalan vaksin yang terhad mencetuskan kritikan terhadap cara kerajaan Filipina menangani wabak Covid-19 di kala lonjakan jumlah jangkitan dibimbangi akan membebankan hospital di ibu negara yang sedang mengalami sekatan, selain wilayah-wilayah sekitarnya.

Kempen vaksinasi pada mulanya menyasarkan petugas kesihatan dan tentera, tetapi kini ia diluaskan untuk merangkumi warga emas dan mereka yang menghidap penyakit komorbiditi.

Walaupun ramai pemimpin dunia menerima suntikan secara terbuka untuk menggalakkan orang ramai menerima vaksin, Duterte menolak untuk berbuat demikian.

“Mari kita utamakan individu yang berkemungkinan untuk hidup, secara produktif, setelah menerima vaksin.

“Kebanyakan warga emas tidak lagi produktif,” kata presiden berusia 76 tahun itu, selepas “kehilangan” beliau daripada mata umum mengundang spekulasi bahawa beliau dijangkiti Covid-19.

Scroll to Top