rnoraina@hmetro.com.my
Kajang: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menghulurkan bantuan kepada waris Allahyarham Khairul Ikhwan Mazupi yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara, dekat Melaka, semalam.
Khairul Ikhwan yang juga Penolong Jurutera Fakulti Pergigian UKM maut bersama isteri dan anak bongsunya berusia dua tahun serta ibu bapa mentua.
Manakala dua anaknya Muhammad Uwais Al-Qarni, 7; dan adiknya, Nur Sofea Humaira, 4, cedera dan menerima rawatan di Hospital Melaka.
Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, dua anak arwah akan menerima sumbangan melalui khairat kematian yang akan disalurkan serta-merta.
Selain itu, katanya, waris mangsa juga akan menerima sumbangan iringan yang akan diserahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zamby Abdul Kadir dijangka pada Jumaat ini.
“Berkaitan dengan waris yang ditinggalkan iaitu dua anak arwah, kita sedang memikirkan bagaimana kaedah untuk membantu mereka selepas ini.
“Mengikut amalan, anak kakitangan kita yang meninggal dunia akan ditanggung daripada kecil sehingga dewasa.
“Bagi kes ini, kita akan berbincang dengan ahli keluarga mereka bagaimana bantuan boleh diberikan,” katanya ketika ditemui di Surau Al-Ikhlas, Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Ekhwan berkata, pemergian Khairul Izwan adalah satu kehilangan buat UKM kerana Allahyarham disifatkan sebagai kakitangan berdedikasi.
Beliau berkata, arwah terbabit secara langsung dalam program pemindahan Fakulti Pergigian UKM ke lokasi baharu yang dijangka pada 2029.
“Saya baru bermesyuarat dengan Allahyarham pada bulan lalu bagi membincangkan berkaitan projek pemindahan Fakulti Pergigian.
“Allahyarham banyak membantu dari segi penambahbaikan reka bentuk, ruang dan kemudahan baharu,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 400 ahli keluarga, saudara dan kenalan menghadiri solat jenazah Allahyarham Khairul, 32, isteri, Fadzlenna Ramli, 32, dan anak, Muhammad Umar, 2, serta mentua Ramli Ab Wahab, 66, serta Fauziah Jaafar, 69.
Jenazah lima sekeluarga itu tiba dari Hospital Melaka pada 5.45 petang sebelum disolatkan pada 6 petang.
Dalam kejadian 8.40 malam tadi, tujuh orang dilaporkan maut membabitkan lima individu menaiki Toyota Estima serta pemandu dan penumpang bas dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Ayer Keroh, Melaka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




