am@hmetro.com.my
Pelabuhan Klang: Pasukan Polis Marin (PPM) antara pasukan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mencatatkan keberhasilan operasi tinggi apabila menyumbang RM216 juta sehingga 30 November lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, nilai rampasan dan saman berjumlah RM216 juta itu dihasilkan melalui 7,756 kes jenayah maritim yang ditumpaskan.
“Dari Januari tahun ini sehingga 30 November lalu, PPM sudah menyumbang RM216 juta melalui 7,756 operasi yang dijalankan.
“Nilaian yang saya sebutkan tadi lebih kepada jumlah barang kes yang dirampas, rampasan kontraban yang terbanyak seperti minyak masak, diesel selain pemerdagangan orang dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Terima Tugas Komander PPM yang baharu di Markas PPM Wilayah 1 di Pulau Indah, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau menyaksikan serah terima tugas antara Senior Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said yang bersara wajib bermula esok kepada Komander PPM yang baharu, Senior Asisten Komisioner Shamsol Kassim.
“Cabaran PPM yang sangat ketara adalah aset kerana kecekapan kita berdasarkan kepada teknologi terkini dan juga Kecerdasan Buatan (AI) dan sebagainya. Ia akan sedikit sebanyak membangkitkan usaha kita.
“Setakat ini, kekurangan ini kita kekang menerusi latihan berterusan. Namun kita tidak mungkin mampu untuk terus berada dalam keadaan ini sebab dunia tanpa sempadan dengan teknologi terkini hari ini memerlukan kita juga sama-sama meningkatkan keupayaan teknologi kita.
“Jadi, kita sangat berharap kerajaan akan menyediakan nilai tambah yang baik untuk PPM supaya kita dapat memberikan perkhidmatan jauh lebih baik daripada apa yang kita ada sekarang,” katanya.
– tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd




