rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengambilan pelajar ke universiti awam (UA) dibuat secara telus, melalui sistem tapisan dan perlu melalui saringan yang ketat.
Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, pemilihan pelajar yang menyambung pengajian di UA juga berdasarkan kriteria ditetapkan termasuk pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan (B40).
Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kaedah ‘pintu belakang’ sama sekali tidak pernah wujud dalam proses kemasukan pelajar ke mana-mana UA di Malaysia.
“Jumlah kemasukan pelajar melalui saluran arus perdana juga tidak pernah dikurangkan.
“Pengambilan dibuat mengikut kaedah ‘over dan above’ iaitu kuota arus perdana dipenuhkan dahulu sebelum proses pengambilan di buka semula kepada calon yang membuat rayuan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi JKNCR UA yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dan beberapa naib canselor universiti awam lain.
Beliau mengulas demikian susulan kenyataan dibuat Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah yang mendakwa kemasukan pelajar ke UA menggunakan saluran terbuka (komersial) sekali gus menafikan hak anak keluarga B40 untuk menyambung pengajian.
Dr Mohd Ekhwan berkata, dakwaan bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berunsur fitnah dan mencerminkan sifat tidak bertanggungjawab beliau mengelirukan masyarakat serta menimbulkan kontroversi tidak berasas.
Katanya, kenyataan itu menampakkan kejahilan terhadap proses kemasukan pelajar ke universiti awam dan alpa mengenai prosedur kemasukan pelajar UA yang mempunyai dua saluran berbeza.
“Saluran perdana dibuka dengan subsidi kerajaan kepada pelajar B40 manakala saluran komersial dibuka tanpa subsidi kerajaan dalam kalangan keluarga berkemampuan (T20) dan antarabangsa.
“Kutipan yuran melalui saluran komersial itu digunakan oleh universiti untuk membangunkan fasiliti pengajaran dan pembelajaran serta kemudahan penginapan pelajar. Semua kemudahan itu diguna sama rata oleh semua pelajar,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini UA mempunyai kira-kira 10 peratus atau 11,860 pelajar daripada saluran komersial berbanding keseluruhan 150,000 pelajar.
Malah, katanya, kemasukan pelajar antarabangsa juga tidak menggunakan kuota pelajar tempatan.
Kata beliau, Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi yang diiktiraf banyak negara dan menjadi pilihan pelajar luar negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




