London: Mikel Arteta berkata beliau “sangat menyukai” peranannya sebagai pengurus Arsenal dan yakin akan terus kekal berada dalam bidang kejurulatihan.
Jurulatih berusia 42 tahun dari Sepanyol itu kembali ke Arsenal pada Disember 2019, mengambil alih tanggungjawab selepas tempoh 18 bulan yang sukar di bawah bimbingan Unai Emery yang juga rakan senegaranya.
Dalam tempoh lima tahun terakhir, Arteta membantu The Gunners kembali ke kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), di samping memimpin kelab itu memenangi trofi Piala FA dan Piala Liga.
Selepas mengalami kemerosotan prestasi yang membimbangkan antara Oktober dan November, Arsenal kembali ke prestasi terbaik mereka apabila meraih kemenangan besar 5-1 ke atas Crystal Palace dan skuad bimbingan Arteta akan berusaha untuk meneruskan momentum itu apabila bertemu Ipswich, Sabtu ini.
Namun, gergasi utara London itu kehilangan khidmat bintang mereka, Bukayo Saka apabila penyerang England itu diketepikan selama beberapa minggu akibat kecederaan hamstring.
Dalam satu temu bual bersama Sky Sports menjelang perlawanan Arsenal menentang Ipswich, Arteta berkongsi memori terbaiknya semasa musim perayaan dan mendedahkan di mana beliau melihat dirinya sedekad akan datang.
Apabila ditanya sama ada dia melihat dirinya bersedia untuk perlawanan Hari Boxing sedekad lagi, dia menjawab: “Ya, dalam sepuluh tahun… Saya kini 42, jadi saya akan berusia 52. Saya rasa begitu.
“Jika anda bertanya kepada saya sekarang, ‘Adakah anda melihat kemungkinan itu?’, maka saya mungkin akan berkata ya.”
“Saya suka apa yang saya lakukan. Pada akhirnya ia adalah pilihan saya untuk menentukan profesion saya, dan saya memilih melakukan tugas ini kerana sangat menyukainya.
“Itu ada cabarannya, ya, tetapi bagi saya, perkara positif jauh lebih besar.”
Menurut Arteta, Arsenal mesti memenangi trofi besar secara konsisten untuk dianggap sebagai kelab legenda pada masa hadapan.
Apabila ditanya sama ada beberapa pemain skuad Arsenal kini akan mencapai status legenda dalam tempoh 10 tahun lagi, Arteta menjawab: “Saya harap begitu. Tetapi saya rasa untuk sampai ke tahap itu, anda perlu memenangi trofi secara konsisten.
© New Straits Times Press (M) Bhd